Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Seperti diduga, 'gergasi' bola sepak Eropah, Jerman menewaskan Greece 4-2 dalam perlawanan suku akhir kedua Euro 2012 di Stadium PGE Arena, Gdansk, Poland awal pagi ini.

Dengan kemenangan tersebut, Jerman bakal berdepan sama ada pasukan England atau Itali yang mana nasib mereka bakal ditentukan pada 25 Jun ini.

Gol pertama Jerman dijaringkan oleh pemain pertahanan mereka Philip Lahm yang merembat kencang dari luar kotak penalti pada minit ke-39 separuh masa pertama.

Beliau yang menerima bola hantaran daripada rakannya, menggelecek seorang pemain pertahanan Greece sebelum merembat ke gawang yang dikawal penjaga gol Michalis Sifakis.

Gol kedua Jerman pula disumbangkan oleh pemian tengah Sami Khedira pada minit ke-61. Beliau menerima hantaran silang rakannya Jerome Boateng, dari arah kiri gol Greece, sebelum pemain Real Madrid yang tinggi lampai itu menyepak kencang bola ke gawang gol.

Gol ketiga Jerman disumbang oleh penyerang Miroslav Klose pada minit ke-68 selepas menanduk masuk hasil sepakan sudut.

Enam minit kemudian, pemain tengah Marco Reus membuat sepakan 'half-volley' yang cantik ke arah gol Greece untuk gol keempat Jerman.

Ia berpunca apabila bola sepakan Klose ditampan oleh Sifakis yang kemudiannya melantun ke arah Reus dan terus merembat kencang ke arah gawang yang ternganga luas.

Manakala gol Greece pula dijaringkan oleh penyerang tinggi lampai mereka, Giorgos Samaras pada minit ke-55 separuh masa kedua.

Gol itu berpunca daripada 'counter attack' yang digerakkan oleh Dimitris Salpingidis dari sebelah kiri gol Jerman, membuat hantaran lintang ke dalam kotak penalti, sebelum Samaras menolaknya ke gawang.

Sementara gol kedua Greece dijaringkan oleh Salpingidis melalui sepakan penalti pada minit ke-89 selepas bola terkena tangan Boateng.

Banyak peluang dihasilkan oleh beberapa tonggak Jerman seperti Mesut Ozil, Khedira, Reus dan Klose dalam perlawanan awal pagi ini, bagaimanapun berjaya dikekang oleh pertahanan Greece atau dinafikan oleh penjaga golnya.

Dengan kemenangan itu, Jerman mengekal rekod tanpa kalah dalam Euro 2012 setakat ini.

Walaupun membuat pertukaran pemain pada separuh masa kedua Greece tidak banyak membuat serangan merbahaya ke arah pintu gol Jerman yang dikawal oleh Manuel Neuer.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS