Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khairy: Royalti minyak Kelantan tidak diberikan terus

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata negeri Kelantan telah diberikan royalti minyak melalui satu jawatankuasa yang diketuai timbalan menteri kewangan Datuk Awang Adek Hussin.

Menurut Khairy, tujuan kerajaan pusat tidak memberi terus kepada kerajaan negeri adalah kerana mereka tidak yakin terhadap pemerintahan negeri di bawah PAS.

"Kita tak bagi melalui kerajaan negeri kerana tak yakin dengan kerajaan negeri. Ini bukan soal politik tapi tak percaya.

"Kita salurkan duit royalti itu melalui jawatankuasa di bawah Awang Adek . Kita tak bagi pada kerajaan negeri, tapi kita bagi terus pada rakyat," kata Khairy di Bengkel Sukarelawan Pemuda BN di PWTC petang ini.

Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai tuntutan royalti minyak negeri Kelantan oleh para peserta di program yang dihadiri 300 orang belia itu.

Soalan berkenaan dipercayai timbul daripada rancangan oleh Gabungan Profesional Tuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Negeri Kelantan (ROYALTI) untuk mengadakan perhimpunan  pada Selasa ini berhubung tuntutan berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, ROYALTI turut menuntut penjelasan Petronas berhubung rancangan pelaburannya bernilai RM15.6 bilion bagi Projek Lembangan Melayu Utara, yang turut melibatkan hasil negeri Kelantan.

Setiausaha ROYALTI, Mohd Hishamuddin Ghazali berkata, projek itu membabitkan pengeluaran Rizab Gas sekitar 1.7 trillion kaki padu di kawasan Perairan Negeri Kelantan – di Blok PM302, Blok PM325 dan PM326B.

“(Ia) membabitkan pembinaan saluran paip sepanjang 300 kilometer dari Pelantar Carigali dalam Perairan Negeri Kelantan ke Kerteh, Terengganu.

"Mengapa Gas yang dicarigali dalam Perairan Negeri Kelantan perlu didaratkan ke Kerteh, Terengganu?," katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, pembinaan hab pengumpulan, pemprosesan dan pengangkutan gas tersebut, selain pembinaan paip saluran tersebut sepatutnya dibina untuk mendaratkan hasil tersebut ke Kelantan kerana jarak yang lebih dekat.

ADS