Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan bahawa SMS yang dihantar isterinya kepada Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM), Mohd Ali Baharom, berhubung perhimpunan yang dirancang pertubuhan itu bukanlah satu ugutan.

Sebaliknya, ia lebih kepada satu nasihat, kata menteri itu ketika diminta mengulas 16 SMS kiriman isterinya itu, seperti yang didakwa Mohd Ali.

Beliau juga mengakui bahawa Mohd Ali dan isterinya mengenali antara satu sama lain dan berasal dari kampung yang sama.

"Jadi isteri saya nasihatkanlah kepada Ali, tetapi Ali hanya ambil satu ayat sahaja, yang saya baca balik, itu bukan satu ugutan. Mengapa dia rasa ugutan?  Sebab Ali, dia biasa ugut orang, jadi bila dia kena lagu tu, dia rasa terugutlah.

 

"Pada hal, saya tidak fikir, mengapa isteri saya nak ugut Ali, seorang presiden sebuah persatuan yang besar yang didokong termasuk balu-balu tentera," katanya sinis.

 

Beliau berkata demikian ketika ditemui di bangunan parlimen pagi ini.

Ahmad Zahid juga menafikan dakwaan Mohd Ali bahawa beliau akan bercuti ke sebuah kem di Mersing pada 29 Jun.

"Dalam jadual saya, saya tidak pergi ke Mersing. Janganlah tipu kepada media, jangan tipu rakyat. Dalam hal ini kalau nak berkhidmat kepada tentera, berkhidmatlah dengan jujur.

"Saya tidak mahu gaduh dengan orang-orang yang kurang betul, nanti saya jadi tidak betul jugak," katanya.

Sambil menegaskan PVTM berhak untuk mengadakan demonstari, Ahmad Zahid bagaimanapun berkata: "Kalau dia (hendak) mengadakan demonstasi, itu hak dia untuk mengadakan demonstrasi cara aman. Itu saya serahkan (kepadanya)."

Mohd Ali pada Jumaat lalu mendakwa, demonstrasi PVTM yang dirancang untuk diadakan pada 29 Jun itu dibatalkan kerana Ahmad Zahid akan bercuti di sebuah kem di Mersing pada tarikh tersebut.

Terdahulu ketika ditanya dalam sidang media di bangunan Kementerian Pertahanan, Ahmad Zahid berkata beliau tidak mengenali PVTM mahupun Mohd Ali yang juga popular dengan nama Ali Tinju.

"Siapa mereka itu?" soalnya kembali ketika ditanya mengenai tuntutan persatuan berkenaan - antaranya untuk mendapatkan elaun sehingga RM1,000 kepada bekas tentera berusia lebih 60 tahun.

"Saya tidak pernah kenal dia," katanya lagi.

VIDEO l  2.18 mins

ADS