Exco Selangor, Dr Halimah Ali berkata amalan menghantar surat sokongan di kalangan pegawai kanan kerajaan bagi permohonan projek kerajaan negeri perlu ditukar.

"Itu norma, budaya dahulu, jumpa YB untuk dapatkan kerja dan sebagainya.

"Norma itu kita mahu tukar, YB tiada pena ajaib," katanya dalam satu sidang media hari ini.

Exco pendidikan, pendidikan tinggi dan pembangunan modal insan Selangor itu berkata, beliau tiada halangan sekiranya orang ramai memohon untuk mendapatkan surat sokongan.

Menurutnya, walaupun beliau tidak menghalang, beliau sendiri tidak menggalakkan perkara itu berlaku dalam pentadbiran Pakatan Rakyat di negeri itu.

"Itu amalan saya. Pergi terus (kepada pihak berkenaan) jika ada
apa-apa permohonan," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas isu surat sokongan kepada satu firma untuk memohon tender sebagai peguam panel kerajaan negeri yang ditandatangani setiausaha politik kepada menteri besar Selangor, Faekah Husin.

Tanpa mengulas secara jelas sama ada surat sokongan yang
ditandatangani Faekah merupakan satu kesalahan, Halimah berkata ia akan dibincangkan dalam mesyuarat exco pada hari Rabu ini.

"Kemungkinan kita akan bangkitkan dalam mesyuarat exco pada hari Rabu," katanya.

Tindakan berkenaan menerima reaksi keras ketua penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei yang dilaporkan menuntut agar Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim menggantung tugas Faekah Husin buat sementara waktu dan perkara itu disiasat.