Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengkaji semula pengharaman buku Hadis: Satu Penilaian Semula tulisan sarjana kontroversi Dr Kassim Ahmad.

Menurut Dr Kassim, arahan itu terkandung dalam surat KDN kepada Jakim bertarikh 20 Jun, yang salinannya dilampirkan turut diposkan ke rumahnya di Kulim.

NONE Menurut intelektual yang terlibat dalam politik, agama dan budaya itu, surat daripada pejabat ketua setiausaha KDN kepada ketua pengarah Jakim itu diterimanya pada 24 Jun lepas.

Malaysiakini semalam melaporkan, Dr Kassim tiga bulan lalu menghantar surat kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein supaya pengharaman bukunya 26 tahun lalu ditarik balik.

Hadis: Satu Penilaian Semula diharamkan pada tahun 1986 selepas beberapa bulan diterbitkan kerana Majlis Fatwa Kebangsaan berpendapat ia mengandungi fahaman yang bertentangan dengan akidah.

Harap cabar pemikiran generasi baru

Ketika dihubungi Malaysiakini petang semalam, Dr Kassim positif nasib buku itu akan berubah seiring pendekatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memperkenalkan banyak program transformasi dalam pentadbirannya.

"Jadi kita nak tengok balik apa yang kerajaan pimpinan Najib akan buat dengan inovasi dan transformasi yang beliau lakukan ini," kata bekas tokoh pemimpin gerakan kiri yang pernah sekejap menyertai Umno itu.

Dr Kassim juga menyifatkan langkah KDN merujuk Jakim sebelum memutuskan status buku itu sebagai betul dan "menurut prosedur".

Seandainya penarikan pengharaman itu benar-benar berlaku, Dr Kassim berharap ia akan mencabar generasi baru yang belum pernah membacanya agar mengkaji semula kedudukan "ulama" dalam struktur masyarakat.

"Umat Islam hari ini bukan sahaja di Malaysia malah seluruh dunia, kita terlalu mendewa-dewakan sarjana," katanya merujuk kepada imam empat mazhab fikah dalam Islam.

Sementara itu, KDN ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan ada menghantar surat berkenaan kepada Bahagian Penyelidikan dan Perancangan Jakim.

Seorang pegawai kanannya memberitahu, keputusan penarikan balik larangan itu bergantung kepada maklum balas dari Jakim.

"Perkara ini bergantung kepada kesegeraan," kata sumber dalaman itu.

Buku itu memperlihatkan cubaan Dr Kassim membedah hadis secara kritikal, antaranya menolak pemahaman tradisi ahli hadis, mengkritik 'kelemahan' umum, kelemahan kritikan sanad serta mengetengahkan 'kontradiksinya' dengan Quran, sains dan sejarah.

Buku mengumpulkan lima siri ceramah berkaitan di Jabatan antropologi dan Sosiologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hampir tiga dekad lalu itu mencetuskan pelbagai reaksi serta dijawab oleh enam buah buku lain.

Dalam perkembangan berkaitan, pemorhonan penerbitan semula dan penterjemahan buku baru Dr Kassim Islamic Renaissance oleh Terjemahan Buku Malaysia (ITBM) setakat ini masih belum pasti.

Semakan Malaysiakini dengan semalam ITBM mendapati syarikat penerbitan kerajaan itu masih belum menerima buku yang diposkannya sebelum ini.

ADS