Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) menggelarkan Datuk Seri Najib Abdul Razak sebagai "Bapa Propaganda" apabila didakwa tidak konsisten terhadap janjinya menghapuskan akta ISA.
Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) Syed Ibrahim Syed Noh berkata, perkara itu dilihat apabila hanya Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) diperkenalkan walaupun Najib dua pengganti ISA diumumkan April lalu.
"Saya rasa kita boleh panggil Najib ini bapa propaganda atau bapa persepsi.
"Sebab semasa dia bacakan rang undang-undang Sosma ini, dia telah sebutkan bahawa bukan satu tetapi dua undang-undang baru yang akan gantikan ISA.
"Apa yang telah terjadi dengan (undang-undang) yang kedua? Sehingga hari ini kita tidak lagi mendengar tentang yang kedua itu," kata Syed Ibrahim.
Jawatankuasa khas pentadbiran mengkaji keberkesanan Sosma dari masa ke semasa - yang turut dianggotai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Majlis Peguam - juga masih sepi, katanya.
"Tetapi jawatankuasa ini tidak pernah juga disebut," kata Syed Ibrahim dalam forum "Ancaman Senyap Sosma" anjuran NGO hak asasi Suara Rakyat Malaysia (Suaram) di Kuala Lumpur malam tadi.
Turut menjadi ahli panel Pengerusi Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Majlis Peguam Edmund Bon.
Syed Ibrahim juga menyatakan kebimbangan terhadap Sosma apabila campur tangan menteri digantikan dengan syarat tahanan maksimum 28 hari untuk siasatan sebelum di bawa ke mahkamah.
Menurut Syed Ibrahim, sebaliknya berkata menteri masih campur tangan secara tidak langsung.
"Ia seolah-olah kuasa menteri itu tidak ada. Selepas 28 hari dan (jika) polis ingin mendakwa di bawah Sosma, mereka akan masuk mahkamah. Kemudian mahkamah akan membebaskan dia (tahanan).
"Tapi pendakwaraya boleh memohon rayuan secara lisan tanpa perlu menyerahkan apa-apa bukti untuk mendakwa tahanan tersebut.
"Mahkamah tak ada keperluan untuk menidakkan permohonan itu. Kalau kita tengok, pendakwaraya ini suara kepada siapa? dia adalah suara kepada menteri dalam negeri. Kuasa menteri masih ada. Tidak secara langsung, tetapi secara tidak langsung," tambah Syed Ibrahim.
Sementara itu, menurut Edmund, walaupun tiada kuasa menteri dalam Sosma, masih menjadi kerisauan ialah "kuasa mutlak" menahan tahanan selama 28 hari itu.
Edmund berkata, berada dalam tahanan polis dalam tempoh itu paling berbahaya kerana pelbagai perkara boleh terjadi.
" Walaupun tempoh tahanan daripada 60 hari telah dikurangkan kepada 28 hari, tetapi berpandukan kajian dan dokumentasi, tempoh paling bahaya semasa bawah tempoh tahanan polis.
"Ini kerana, banyak masalah yang akan berlaku semasa di bawah tahanan tersebut seperti akses kepada peguam, keseksaan dan sebagainya," katanya.
