ANALISIS EURO 2012 Pertembungan dua jaguh Iberia - Sepanyol dan Portugal - dalam perlawanan separuh akhir Euro 2012 awal pagi esok menjadi tumpuan seluruh dunia khususnya peminat bola sepak di Malaysia.

Sudah pasti, pemerhati bola sepak melihat juara Piala Dunia 2010 Sepanyol tidak boleh lari daripada bermain cara 'otek-otek' atau 'tiki-taka' ala kelab Barcelona.

azlanMasakan tidak, lebih enam pemain skuad bimbingan Vicente del Bosque bermain untuk kelab gergasi Catalan dalam La Liga di negara tersebut.

Sebut sahaja, Xavi Hernandez, Andres Iniesta, Sergio Busquet, Cesc Fabregas, Gerard Pique dan Pedro Rodriguez, semuanya tulang belakang skuad yang pernah dibimbing oleh jurulatih Pepe Guardiola.

Sebanyak 14 kali kejuaraan sepanjang Guardiola di sana, memang cara itu dimainkan - yang kerap disebut di kedai-kedai kopi sebagai 'otek-otek'.

"Tap - tap - tiki - taka - otek - otek" - bola hantaran pendek ke kiri dan kanan sesama pemain, atau sewaktu menggelecek pemain lawan, jelas tidak ubah 'cerminan' permainan Barcelona.

Yang akhirnya menyebabkan pihak lawan membuat kesilapan sehingga ruang dan peluang tercipta. Jika dilihat, inilah yang menyebabkan pihak lawan membuat bentesan kerana tertekan tidak mendapat bola.

Selalunya bola 'otek-otek' digerakkan oleh dua 'playmaker' utama - Xavi dan Iniesta - kemudian dihalakan kepada penyerang sama ada Fabregas, Fernando Torres atau David Silva.

Itu standard corak permainan Sepanyol yang dapat dilihat dalam perlawanan skuad 'Spaniard' itu di peringkat kumpulan hingga ke separuh akhir. Tidak keterlaluan sejak piala dunia lalu.

Namun timbul keresahan penyokong dan peminat setia, apakah Sepanyol mengekal corak permainan dan taktikal yang sama menyebabkan Portugal tidak dapat menghidunya? Jadi sampai bila?

Alonso: Corak Sepanyol tak berubah


Bahkan timbul rungutan di kalangan peminat setia, cara itu membosankan dan skuad kendalian Del Bosque dikatakan ketandusan idea bagi mempelbagaikan corak permainan?

Dengan kata lain, apakah Sepanyol bakal mengubah atau mahu menukar gaya permainan dan taktikal mereka, bagi mengukuhkan cengkaman mereka sebagai jaguh Iberia?

Perlukah Del Bosque mengulangi taktik bertemu Perancis dengan memasukkan enam pemain tengah untuk mencipta peluang kepada Fabregas atau Torres merobek gol Portugal?

NONESetakat yang dilaporkan, pemain tengah Sepanyol Xabi Alonso dipetik sebagai berkata corak permainan mereka "tidak akan berubah" sekali pun berdepan dengan jiran dan musuh ketat mereka.

Malah, katanya, semangat berpasukan yang ditunjukkan bakal mengekang kemaraan penyerang berbisa Portugal, Cristiano Ronaldo yang dikatakan akan membuat serangan di sebelah kanan gol Sepanyol.

"Kami tahu, kehebatan pemain seperti Cristiano. Beliau akan banyak menumpu perhatian (untuk menyerang) di posisi Alvaro Arbeloa (di sebelah kanan).

"Tetapi kami perlu bekerjasama sebagai satu pasukan untuk mengekang pemain sepertinya," kata pemain tengah Barcelona, Sergio Busquet dipetik.

Peminat bola sepak melihat Arbaleo mungkin terpaksa bekerja keras mengekang kemaraan serangan balas Portugal di sebelah kanan melalui 'overlamping' pemain pertahanan Portugal Fabio Coentrao atau gerakan dari Miguel Veloso atau Hugo Almeida.

Di posisi pertahanan, selain Pique dan Arbeloa, Sepanyol turut membarisi dua lagi pemain, Sergio Ramos dan bek kiri Jordi Alba.

Tugas berat bagi Jordi, pula bakal mengekang kelincahan pemain penyerang-sayap kanan Portugal, Nani atau pemain tengah sama ada Raul Meireles atau Miguel Veloso.

Peluang serangan balas Portugal

Bagi Portugal pula, selain mengharapkan dua tonggak - Nani dan Ronaldo - mereka turut membarisi pemain yang boleh menghidupkan peluang serangan 'counterattack' - ala Real Madrid - jika mendapat peluang.

Hantaran itu ditujukan terus di sebelah sisi kanan atau kiri supaya hantaran lintang ke kotak penalti supaya tandukan atau rembatan dapat dilakukan khususnya dalam perlawanan bertemu Belanda dan Republik Czech.

Malah seperti biasa - jika Ronaldo mempunyai ruang - beliau akan sedaya upaya memasuki kawasan berdekatan dengan kotak penalti atau sekurang-kurangnya mendapatkan sepakan percuma sehampir mungkin bagi memecah kebuntuan.

Boleh dikatakan 60 gol beliau bersama pasukan Real Madrid 'Galacticos' dihasilkan melalui sepakan percuma di luar kotak penalti.

"Kami mesti mencuba untuk menyahaktifkan beliau... Kami mesti ambil perhatian terhadap Ronaldo. Beliau pemain hebat dan logik kalau di sana banyak orang bercakap mengenai (kehebatannya)," kata Vicente dipetik dalam laman web rasmi UEFA.

Oleh itu, Sepanyol tidak berdepan tugas mudah untuk layak ke perlawanan akhir. Dalam rekod pertemuan sejak 2010, masing-masing menang sekali dalam dua perlawanan. Perlawanan awal pagi esok, untuk menentukan siapakah juara Iberia di benua Eropah 2012.

Masing-masing mempunyai kekuatan dan peluang kedua-dua pasukan untuk menang adalah 50-50. Bagaimanapun, sifirnya cukup mudah - siapa menguasai bahagian tengah padang, pasukan itu akan menang.

Taktikal, skil individu dan kurang membuat kesilapan khususnya di bahagian pertahanan, pasukan itu berjaya.

Cuma apa yang masih menjadi tanda tanya, apakah taktikal Sepanyol bertukar atau Portugal hanya memandang sinis 'otek-otek' La Roja dalam perlawanan di Donbass Arena, Donetsk, Ukraine awal pagi esok.

Ayuh, kita saksikan!