Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 27 Julai untuk keputusan permohonan membatalkan saman fitnah yang difailkan Senator Dr Syed Husin Ali terhadap Utusan Melayu (Malaysia) Bhd dan dua lagi.

Pesuruhjaya Kehakiman Vazeer Alam Mydin Meera menetapkan tarikh itu setelah mendengar hujahan kedua-dua pihak.

Utusan Melayu, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Datuk Abdul Aziz Ishak dan anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu Datuk Zulkifli Noordin mengemukakan permohonan membatalkan saman berjumlah RM10 juta itu pada Mei lalu.

Syed Husin, 76, bekas timbalan presiden PKR memfail saman itu pada 27 Jan lalu dengan menuntut ganti rugi berjumlah RM10 juta, ganti rugi teladan, faedah, kos dan relif lain dan satu perintah injunksi bagi menghalang defendan daripada menerbitkan lebih lanjut perkataan fitnah yang sama terhadapnya.

Dalam pernyataan tuntutan, Syed Husin mendakwa Utusan Melayu dan Abdul Aziz telah secara palsu dan dengan niat jahat mencetak dan menerbitkan perkataan fitnah terhadapnya dalam artikel di akhbar Utusan Malaysia bertarikh 20 Nov tahun lepas, berjudul 'Zul Noordin Nafi Dakwaan Syed Husin'.

Syed Husin berkata Zulkifli, dalam laman web peribadinya, menerbitkan semula artikel yang sama tetapi atas tajuk yang lain iaitu 'Anjing-anjing Pencen'.

Sementara itu, menerusi pernyataan pembelaan Utusan Melayu dan Abdul Aziz yang difailkan pada 29 Feb lalu, kedua-duanya menafikan dakwaan Syed Husin dan mereka hanya menerbitkan semula apa yang disiarkan Zulkifli dalam blognya.

Mereka juga mendakwa artikel itu diterbitkan semula dengan niat baik supaya dapat memberi maklumat kepada masyarakat awam.

Zulkifli, yang memfail pernyataan pembelaan pada 28 Feb, pula berkata artikel di laman web peribadinya merupakan komen berpatutan dan melibatkan kepentingan awam.

-Bernama