Permohonan penduduk Kampung Baru Plentong Tengah untuk menghalang perintah pengusiran yang diperolehi oleh sebuah syarikat pemaju, Bukit Lenang Development Sdn. Bhd (BLD), yang sepatutnya didengar hari ini ditangguhkan pada Isnin depan.
Syarikat BLD, yang mendakwa memiliki kawasan itu pada 1996, berjaya mendapat perintah Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 9 Mac lalu untuk memindahkan penduduk sehingga hari ini
Menurut firma guaman Karpal Singh & Co, yang mewakili penduduk kampung, Pendaftar Mahkamah Rayuan Kuala Lumpur memaklumkan tarikh baru tanpa mengemukakan sebarang sebab.
Karpal Singh mewakili 65 orang, manakala dua lagi firma guaman mewakili lebih 200 penduduk kampung tersebut.
Sejak 1986 lagi, penduduk telah berusaha mendapatkan status tanah yang sah dengan memohon kepada pejabat Pentadbir Tanah Johor Bahru dan mereka dikenakan bayaran RM10 seorang.
Tanah tersebut telah bertukar milik sebanyak empat kali. Tanah asal milik kerajaan negeri itu dijual kepada syarikat Jet Age pada 1987. Ia kemudiannya diperolehi oleh syarikat Oakfield yang dijualkan kepada BLD pada 1996.
Pemaju BLD menawarkan pampasan sebanyak RM5,000 hingga RM9,000 bergantung kepada saiz tanah dan rumah. Bagaimanapun, penduduk kampung menuntut sebanyak RM35,000 hingga RM100,000.
"Dengan sejumlah kecil pampasan itu, hendak membeli rumah pun penduduk kampung ini tidak mampu. Maklum, rata-rata penduduk di sini mempunyai pendapatan rendah," kata setiausaha jawatankuasa bertindak bagi pihak penduduk, Taslim Nani, tentang tuntutan pampasan yang disifatkan tidak munasabah.
Taslim menambah, dalam masa 15 tahun, penduduk kampung cuba mendapatkan hak milik tanah tersebut tetapi gagal.
Penduduk kampung, dakwa Taslim lagi, telah melantik sejumlah 11 peguam dalam tempoh tersebut untuk menguruskan urusan pembelian tanah tetapi ramai peguam menipu dan melarikan wang penduduk yang dianggarkan sejumlah RM420,000.
Menurutnya, laporan polis dibuat pada 18 Februari 1994, namun sehingga kini masih belum ada sebarang tindakan daripada pihak berwajib.
"Cukuplah penipuan yang diterima dan kami berharap pemaju perumahan tersebut dapat berunding dengan kami," rayu Taslim.
Sementara itu, kerajaan negeri pada dasarnya bersetuju untuk memberikan tanah kerajaan di Batu 20, Kampung Bukit Dagang, Mukim Sungai Tiram seluas lebih kurang 83 ekar kepada penduduk Kampung Baru Plentong Tengah.
Menurut surat rasmi Pejabat Pentadbir Tanah bertarikh 8 Mac lalu, kerajaan negeri akan menentukan syarat-syarat kurniaan dan bayaran premium tanah selepas itu.
PROPERTY