Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) menuntut agar kem tahanan di Kamunting, Perak ditutup segera dan dijadikan 'warisan negara'.

Saranan itu dibuat anggota sekretariat GMI, Ahmad Syukri Razab sewaktu upacara memasang lilin memperingati baki 45 tahanan ISA yang ditahan di kem berkenaan di Kamunting, Perak.

"Bebaskan semua 45 tahanan ISA. Kemudian kita minta wartakan kem ISA sebagai 'warisan negara' jadi tugu untuk memperingati hakikat rakyat negara ini pernah dizalimi," laung Ahmad Syukri penuh bersemangat dalam ucapan di perhimpunan itu.

Syukri jug menuntut agar dakwaan seksaan terhadap tahanan ISA disiasat Kementerian Dalam Negeri

Upacara itu yang berlangsung berhampiran Ibu Pejabat Polis Bukit Aman disertai kira-kira 40 aktivis GMI yang terdiri daripada isteri bekas tahanan ahli keluarga tahanan ISA.

Seorng daripadanya ialah Hadijah Veeravu, ibu kepada Fadzullah Abdul Razak yang turut hadir kelihatan sebak sewaktu bercerita tentang kerinduan terhadap anaknya yang sudah sepuluh hari melancarkan mogok lapar.

"Memang siang malam teringat, makan pun teringat.

"Dia tak cerita (tentang penyiksaan di kem) tapi sebagai ibu makcik dapat rasa.

"(Rindu) sampai badan makcik pun sakit-sakit," katanya ketika ditemui di program tersebut, malam tadi.

Wakil media yang hadir turut terkesan dan dan sebahagiannya kelihatan cuba menyembunyikan perasaan sebak mereka.

Selain dari ucapan-ucapan aktivis, upacara malam tadi turut diselang-seli deklamasi puisi mengutuk penahanan ISA yang masih berterusan walaupun akta itu sudah dimansuhkan.

Aktivis GMI, Benz Ali mendeklamasikan puisi berjudul 'Jentik dan Goblok' dengan penuh bersemangat selama kira-kira sepuluh minit.

Majlis berakhir selepas kira-kira satu setengah jam berlangsung.

Esok, sebahagian daripada mereka akan ke Kamunting untuk melawat tahanan.

ADS