Cadang hudud: ADUN Umno 'hilang akal', kata MCA

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata ADUN Umno Johor yang mencadangkan supaya hukum hudud dilaksana ke atas orang Islam dan bukan Islam di negeri itu "hilang akal" kerana mengemukakan perkara tersebut.

Dalam satu tulisannya di Twitter malam tadi, Chua berkata ADUN berkenaan, Datuk Ayub Rahmat juga telah kehabisan idea sehingga menimbulkan cadangan berkenaan.

"ADUN Umno Johor itu tentu sudah kehabisan idea dan hilang akal untuk mencadangkan hudud di Johor meliputi bukan Islam," katanya.

Tambahnya, MCA "pastinya" menentang usaha seperti itu.

Ayub yang merupakan ADUN Kemelah membangkitkan cadangan itu 20 Jun lalu pada mesyuarat pertama penggal persidangan kelima Dewan Negeri Johor ke-12.

Ketika diminta menjelaskan cadangannya itu, berkata beliau mahu melihat Johor mendahului negeri lain melaksanakan hukum hudud "sebenar" – yang menurutnya berbeza dengan hudud PAS.

Hukum hudud sebenar meliputi semua kaum dalam sesuatu negara berbanding hudud PAS yang hanya tertakluk kepada orang Islam, kata Ayub yang memberi contoh Kanun Jenayah Syariah II (1993) (Hudud Kelantan).

Beliau berpandangan bahawa undang-undang itu menimbulkan diskriminasi dari segi pelaksanaan di antara orang Islam dan bukan Islam.

Pendiriannya itu meletakkan MCA sebagai parti kedua paling besar dalam BN dalam kedudukan sukar.

MCA sebelum ini lantang mengkritik undang-undang hudud dan sentiasa menyerang PAS atas rancangan pelaksanaan undang-undang syarie yang didakwa akan menakutkan pelabur asing.

MCA menjadikan kritikan ke atas hudud sebagai bahan kempen utamanya dalam menghadapi pilihan raya umum untuk menentang seterunya, DAP.

[Baca berita penuh]
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.