Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kira-kira 1.5 juta mahasiswa di institut pengajian tinggi awam dan swasta seluruh negara akan mendapat manfaat daripada Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KDS1M), kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang melancarkan kad tersebut berkata ia diberikan secara percuma kepada mahasiswa di seluruh negara bagi mengurangkan kos sara hidup sepanjang pengajian mereka.

NONE Majlis pelancaran kad tersebut diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya petang ini.

Dalam ucapannya, Muhyiddin berkata pemberian kad diskaun tersebut bertitik tolak daripada cadangan mahasiswa sewaktu Mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) pada 21 November lalu.

"Cadangan tersebut diberi perhatian dan tindakan yang sesuai dilaksanakan selaras dengan konsep rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan," katanya.

Muhyiddin berkata cadangan tersebut dipertimbangkan selepas tempoh enam bulan ia dibentangkan dalam mesyuarat yang dipengerusikannya.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Ismail Sabri Yaakob; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Pembangunan Wilayah dan Luar Bandar, Datuk Seri Shafie Apdal.

Sebelum itu, Ismail Sabri yang juga ahli Parlimen Bera, dalam ucapannya menjelaskan beberapa ciri kad diskaun tersebut.

Antaranya ialah tempoh masa kad tersebut hanya boleh digunakan dalam tempoh pengajian, ia bukan kad mata ganjaran, pelajar tidak perlu memohon sebaliknya maklumat pelajar akan diberikan oleh IPT kepada kementeriannya dan pihaknya mengutamakan pelajar tahun akhir terlebih dahulu.

Katanya, kerajaan tidak menanggung sebarang kos,  sebaliknya ia merupakan pendekatan 'tanggungjawab sosial korporat' oleh Bank Rakyat yang membiayai kos pengeluaran kad, 51 syarikat dan 30 koperasi yang terlibat memberi potongan harga kepada mahasiswa.

Mahasiswa mendapat faedah potongan lima hingga 60 peratus antaranya seperti penginapan di hotel tertentu, buku, membeli makanan dan membeli barangan tertentu premis perniagaan.

ADS