Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
TPM cadang lantik jurucakap tangani isu M'sia-Indonesia
Diterbitkan:  Jul 4, 2012 7:03 AM
Dikemaskini: Jul 4, 2012 1:00 PM

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Malaysia mungkin melantik seorang jurucakap rasmi kerajaan bagi membantu menangani isu-isu dua hala yang berbangkit antara Malaysia dan Indonesia.

    

Beliau berkata jurucakap rasmi kerajaan itu difikirkan perlu bagi memastikan setiap isu yang tercetus dengan Indonesia akan dapat ditangani dengan lebih cepat dan berkesan serta mengelakkan salah faham atau tanggapan serong terhadap Malaysia oleh pihak Indonesia hingga menimbulkan polemik.

NONE "Kita akan bawa ke kabinet siapakah yang akan menjadi jurucakap rasmi kerajaan kalau ada hal-hal yang timbul.

    

"Penjelasan perlu dibuat cepat sebelum isu itu berbangkit di sini (Indonesia) dan  menimbulkan tanggapan-tanggapan serong atau tidak baik," katanya pada sidang akhbar dengan wartawan Malaysia di sini di akhir lawatannya ke Jakarta.

    

Muhyiddin, yang juga menteri pelajaran, malam ini berlepas ke Yogyakarta untuk menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Pelajaran Asean serta beberapa mesyuarat berkaitan dengannya yang akan berlangsung pada Rabu dan Khamis.

    

Timbalan Perdana Menteri pada hari ini telah mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden Indonesia Boediono dan berbincang mengenai usaha meningkatkan hubungan kerjasama dua hala selain membincangkan isu-isu dua hala yang sering mengganggu hubungan di peringkat rakyat kedua-dua negara.

    

Katanya keakraban hubungan Malaysia dan Indonesia sering diuji dengan pelbagai masalah termasuk isu pembantu rumah, nelayan dan sempadan negara.

    

Isu terbaru yang telah menyebabkan hubungan peringkat rakyat kedua-dua negara menjadi tegang ialah mengenai cadangan Malaysia untuk mendaftar tarian Tor-Tor dan Gordang Sambilan masyarakat Mandailing di Malaysia sebagai warisan budaya negara.

    

NONE Dalam perbincangan itu, Muhyiddin telah menjelaskan pendirian Malaysia bahawa ia tidak berhasrat untuk menuntut sebagai pemilik budaya masyarakat Mandailing yang berasal dari Sumatera Utara itu dan pendaftaran itu adalah sebagai usaha melestarikan budaya itu agar tidak hilang ditelan zaman.

    

Muhyiddin tiba di sini hari ini untuk lawatan enam hari ke Indonesia yang turut meliputi lawatan ke Yogyakarta dan Bali.

    

"Saya dan Boediono juga bersetuju bahawa hubungan Malaysia dan Indonesia adalah cukup baik. Kami juga bersetuju pertemuan di antara pemimpin dua negara dan para menteri hendaklah diteruskan secara berkala," katanya.

    

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO turut mengadakan pertemuan dengan tiga pemimpin parti politik terbesar di Indonesia.

    

Mereka terdiri daripada Ketua Umum parti Golkar Aburizal Bakrie, Ketua Umum parti Demokrat, Annas Urbaningrum dan Ketua Umum Parti Demokrasi Indonesia-Perjuangan (PDI-P), Megawati Sokarnoputeri.

    

Timbalan Perdana Menteri berkata pertemuannya dengan ketiga-tiga pemimpin parti politik itu mencapai kesepakatan yang positif berhubung usaha memelihara hubungan akrab antara kedua-dua negara.

    

Kesemua parti politik yang ditemui menyatakan komitmen luar biasa dan kesungguhan baru untuk mengukuhkan hubungan dua negara, katanya.

    

"Semua parti menyatakan komitmen untuk mengukuhkan hubungan dua hala di peringkat parti bagi mengelakkan hal-hal yang boleh menjejaskan hubungan baik".

    

Turut serta dalam rombongan UMNO ialah Naib Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, anggota Majlis Tertinggi Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Ketua Wanita Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dan Ketua Puteri Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

    

- Bernama

ADS