Himpunan Oren: Polis dimaklumkan, kerjasama dipohon

Kumpulan antipenyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) di Bursa Malaysia hari ini menghantar surat pemakluman berhubung perhimpunan mereka 14 Julai ini bagi memohon campur tangan Yang di-Pertuan Agong.

"Dalam surat tersebut, kita memohon kerjasama polis untuk menjaga keselamatan peserta perhimpunan dan lalu lintas.

NONE"Kita sedia bekerjasama dengan polis," kata penyelaras gabungan Gerakan Selamatkan Felda (GSF) Mazlan Aliman ketika dihubungi Malaysiakini.

Menurut Mazlan, beliau mengetuai tujuh delegasi menyerahkan surat makluman tersebut kepada Ketua Polis Daerah Sentul Zakaria Pagan di ibu pejabat polis itu kira-kira jam 12.15 tengah hari berhubung
"Perhimpunan Oren Selamatkan Felda".

Perhimpunan itu dijadual berlangsung di Masjid Wilayah Persekutuan sebelum berarak ke Istana Negara melalui Jalan Duta bermula jam 2 petang.

Mazlan yang juga presiden Persatuan Anak Peneroka Felda (ANAK) berkata surat makluman tersebut diterima oleh seorang pegawai bagi pihak Zakaria.

Kira-kira 20,000 peserta dijangka hadir dalam perhimpunan tersebut.

Mazlan berkata dalam surat tersebut, pihaknya juga turut memaklumkan mengenai butiran perancangan mereka pada tarikh tersebut.

Sementara itu, Mazlan yang ahli jawatankuasa Pusat PAS berkata pihaknya sedang berusaha untuk mengadakan pertemuan dengan istana bagi memberikan maklumat dan gambaran awal berhubung perhimpunan mereka.

Katanya, mereka bercadang untuk mengadakan pertemuan tersebut pada 11 Julai ini.

"Maksudnya, pada 14 Julai itu, istana sudah mendapat gambaran mengenai perhimpunan ini," katanya.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.