Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lima ADUN DAP digantung 6 bulan hadiri DUN Melaka
Diterbitkan:  Jul 4, 2012 3:10 PM
Dikemaskini: 8:28 AM

Lima ADUN DAP digantung daripada menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri Melaka, selama enam bulan kerana mengingkari dan menimbulkan kekecohan pada persidangan dewan hari ini.

    

Speaker DUN Melaka Datuk Wira Othman Muhamad membuat keputusan penggantungan itu terhadap Betty Chew Gek Cheng (Kota Laksamana); Goh Leong San (Kesidang); Khoo Poay Tiong (Ayer Keroh); Tey Kok Kiew (Banda Hilir) dan Lim Jak Wong (Bachang) berkuatkuasa hari ini.

    

NONE Ia berikutan kekecohan yang ditimbulkan pada persidangan hari ini yang bermula dengan Betty Chew, isteri Ketua Menteri Pulau Pinang, meminta ADUN Duyung yang juga ahli exco kerajaan negeri, Datuk Gan Tian Loo menarik balik kenyataan yang disifatkan peribadi oleh Gan terhadapnya.

    

Sejurus persidangan bermula pada kira-kira pukul 9.30 pagi, selepas doa, ucapan aluan dan agenda persidangan yang memasuki hari ketiga hari ini, Betty Chew bangun menyatakan bahawa tohmahan telah dibuat oleh Gan berhubung isu seorang wanita yang dikaitkan dengan suaminya.

    

"Atas kenyataan ADUN Duyung pada persidangan dewan pada Isnin lepas, saya rasa beliau (Gan) melakukan fitnah dan tuduhan peribadi ke atas saya dan suami saya. Saya meminta beliau (Gan) menarik balik tuduhan itu," katanya.

Othman berkata beliau telah meneliti kenyataan Gan itu dan mengganggap ia sekadar pertanyaan Gan kepada Betty Chew sama ada mengenali individu itu.

    

"Ia bukan "statement" (pernyataan), ianya pertanyaan, jawapannya ya atau tidak, kenal atau tidak, ia bukan tuduhan. Kalau tidak...nafikan, tidak timbul fitnah," kata Othman kepada Betty Chew.  

    

Betty Chew yang tidak berpuas hati dengan jawapan Othman, menempelak Speaker dengan berkata: "Malu  ke atas awak (shame on you) Datuk Speaker,".

    

Sejurus selepas itu, dua ADUN DAP, Khoo dan Lim bangun sambil merentangkan kain pemidang tertulis perkataan dalam bahasa Cina dan bahasa Inggeris "Shame on you Gan Tian Loo".

    

Beberapa ADUN Barisan Nasional bangun mempertahankan Speaker dan berteriak "Shame on Betty" sambil berkata kain pemidang itu tidak sepatutnya dibawa masuk ke dewan persidangan.

    

Kedua-dua pihak berbalas cakap sebelum Speaker meminta ADUN Ayer Keroh dan Bachang meninggalkan dewan kerana membawa sepanduk tetapi kedua-dua wakil DAP itu ingkar.

Sebaik dewan berhenti rehat dan bersidang semula pada pukul 10.10 pagi, ketua whip Datuk Yaakub Md Amin membacakan usul supaya kelima-lima ADUN DAP itu digantung enam bulan kerana mengingkari sidang dewan.

Othman selepas itu membuat keputusan menggantung kesemu ADUN DAP itu serta menangguhkan persidangan dewan ke satu tarikh yang akan dimaklumkan.

Dalam sidang akhbar kemudiannya, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata tindakan lima Adun DAP itu menunjukkan konspirasi wakil pembangkang untuk mengalihkan isu apabila terpalit ke atas mereka.

"Ini semua taktik kotor DAP yang tidak demokratik, malahan mereka bawa banner ke dalam dewan yang biasanya dilakukan semasa demonstrasi jalan raya. Ini cara mereka sehingga membawa sepanduk ke dalam sidang dewan," katanya yang kesal dengan cara dan tindakan pembangkang itu.

     

Othman ketika ditemui pemberita berkata penggantungan kelima-lima ADUN DAP itu mengikut Perkara 34.(1),(2),(3),(4) sebagaimana tatatertib dalam persidangan dewan.

     

"Mereka berlaku degil arahan supaya diminta keluar dewan tetapi tidak dipatuhi, tak mahu ikut peraturan, ingkar arahan speaker dan tidak menghormati persidangan dewan," kata Othman.

     

Semalam, sewaktu persidangan hari kedua, kelima-lima ADUN DAP itu bertindak keluar daripada persidangan berhubung isu seorang wanita yang dikaitkan dengan Lim Guan Eng.

- Bernama

ADS