Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kerajaan mengambil pendekatan salah dalam memerangi jenayah apabila membelanjakan sebahagian besar peruntukan Program Transformasi Kerajaan (GTP) bagi memerangi jenayah untuk menguruskan persepsi semata-mata, dakwa PKR.

Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mendakwa 71 peratus daripada belanjawan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) tahun 2012 adalah untuk aktiviti dasar mengurangkan perasaan takut terhadap aktiviti jenayah.

Pada masa sama, tambahnya, kerajaan hanya memperuntukkan 3.67 peratus untuk mengurangkan jenayah pecah rumah dan curi kereta, 11.27 peratus untuk mengurangkan jenayah jalanan, 2.75 peratus untuk membawa penjenayah ke pengadilan, dan 11.25 peratus untuk meningkatkan tahap kepuasan awam dengan polis.

"Kerajaan tidak ikhlas apabila mereka hanya menumpukan kepada persepsi rakyat," katanya sambil mendakwa RM170 juta diperuntukkan untuk tujuan itu.

Dalam sidang akhbar yang sama, Pengerusi Biro Pelaburan dan Perdagangan PKR, Wong Chen berkata, Laporan Tahunan 2011 GTP melaporkan pada tahun lepas kerajaan hanya mengadakan dua tinjauan untuk mengukur persepsi orang ramai di bawah aktiviti dasar mengurangkan perasaan takut terhadap jenayah.

Justeru, katanya, persoalan timbul tentang bagaimana RM170 juta itu dibelanjakan untuk menguruskan persepsi jenayah pada tahun ini memandangkan separuh daripada tahun 2012 telah pun berlalu.

"Apa yang kerajaan buat cuma buat survey (tinjauan), kenapa kerajaan memerangi jenayah dengan menguruskan persepsi?

"Pada pendapat saya fokus kerajaan adalah salah.

"Kerajaan sepatutnya membelanjakan 70 peratus untuk memerangi jenayah dan 30 peratus untuk menguruskan persepsi.

"Adakah mereka membeli airtime (untuk hebahan)? Kita pun tidak tahu.

"Ceramah Pakatan Rakyat pun menelan belanja RM300 sahaja (untuk hebahan aktiviti Pakatan)," katanya.

PKR sebelum ini menggesa kerajaan berhenti mengintip rakyatnya dan menumpukan kepada pembasmian jenayah.

Ia kerana Cawangan Khas dilaporkan membuka sebanyak 733,000 kertas siasatan berbanding hanya 212,000 kertas siasatan jenayah dibuka oleh Jabatan Siasatan Jenayah.

Sementara itu, menjawab soalan tentang ura-ura akan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum akan datang, Wan Azizah mengulangi bahawa beliau sedang mempertimbangkan perkara itu.

"Saya memang boleh bertanding (DUN), tetapi kami akan bincang tempat mana paling sesuai," katanya ringkas.

ADS