Polis: Suspek amuk dipercayai sakit mental

Seorang lelaki dan wanita yang mengamuk di luar perkarangan Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya semalam, dipercayai mengalami masalah mental, kata polis.
    
Khalil Afandi Hamid, 47, yang mendakwa dirinya Imam Mahadi, dan wanita berusia 28 tahun itu juga dipercayai ekstrem dengan ajaran Islam menyebabkan mereka bertindak mengamuk dengan bersenjatakan dua bilah pedang samurai dan sebilah pisau pemotong daging.     
    
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata Khalil Afandi dan wanita itu, dipercayai baru mengenali satu sama lain seminggu lepas dan tidak mempunyai rekod jenayah.
    
Bercakap dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) hari ini, beliau berkata IPKKL menggerakkan unit khasnya untuk menyiasat sama ada mereka menganggotai kumpulan ajaran sesat.
    
"Siasatan mendapati kedua-dua suspek bertindak demikian ekoran ajaran agama yang songsang. Polis sedang menyiasat sama ada suspek anggota ajaran sesat," katanya.
    
Mohmad berkata siasatan awal mendapati sebelum kejadian itu, mereka telah dihantar oleh sebuah kenderaan sebelum ditinggalkan di perkarangan JPM.

Dalam kejadian 2.30 petang semalam, Khalil Afandi mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya selepas terkena tembakan di tangan dan bahagian ari-ari manakala wanita yang merupakan bekas penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, terkena tembakan di paha kanan dan dirawat di hospital sama.
    
Polis terpaksa melepaskan tembakan apabila usaha memujuk lelaki dan wanita itu gagal, sebaliknya mereka yang bersenjatakan pedang samurai, cuba menyerang polis dan merosakkan beberapa kenderaan di kawasan itu.
    
Mohmad menjelaskan tindakan polis terpaksa menembak kedua-dua suspek itu sebagai langkah mempertahankan diri daripada terus diserang dan meminta orang ramai supaya tidak mempolitikkan kejadian itu.   
 
Wanita terbabit ditahan reman mulai hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 307, 427 dan 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Hakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Sementara itu, jenazah Khalil Afandi tiba di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira 10 pagi untuk dibedah siasat.
   
Kawasan di Unit Forensik di HKL dikawal rapi oleh polis dengan pagar ditutup sepenuhnya bagi menghalang kemasukan pihak media.
   
Kira-kira 20 pemberita dan jurugambar juga gagal menemubual anggota keluarga Khalil Afandi yang menolak untuk ditemui.
   
Menurut pegawai perhubungan awam HKL, anggota keluarga pihak isteri Khalil Afandi memintanya memaklumkan kepada pihak media bahawa mereka tidak mahu diganggu.
   
"Jenazah (Khalil Afandi) akan diuruskan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)," katanya.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.