Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Abim: Tuntutan Dong Zong pencilkan orang Cina
Diterbitkan:  Jul 14, 2012 8:16 PM
Dikemaskini: 12:21 PM

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) berpendapat permintaan Dong Zong berkaitan pendidikan yang akan dimajukan kepada perdana menteri hujung bulan ini akan memencilkan orang Cina daripada aliran pendidikan kebangsaan.

Presidennya, Amidi Abdul Manan sebaliknya menggesa agar Dong Zong atau juga dikenali sebagai Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Dong Zong) supaya "mereformasikan sukatan latihan guru bagi memastikan lebih ramai pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina boleh berbahasa Melayu".

Beliau bimbang jika lebih banyak sekolah Cina persendirian ditubuhkan di peringkat menengah yang akan menyebabkan perpaduan rakyat gagal dicapai.

"Ini termasuk tuntutan untuk mendukung serta memperkasakan beberapa institut pengajian tinggi yang dilihat meletakkan negara luar sebagai rujukan dasar dan aliran," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dong Zong bersama sembilan lagi pertubuhan pendidikan Cina lain bercadang menghantar memorandum mengandungi 10 perkara berkenaan pendidikan hujung tahun ini.

Di antaranya adalah dasar pendidikan pelbagai bahasa pengantar menggantikan dasar pendidikan bahasa pengantar tunggal.

Dalam kenyataan sama, Abim turut menggesa agar usaha mendaulatkan bahasa Melayu diserapkan sebagai salah satu daripada prinsip Rukun Negara.

"Abim turut merasakan sudah tiba masa untuk kita memasukkan elemen kedaulatan Bahasa Kebangsaan sebagai salah satu prinsip Rukun Negara untuk memupuk kesedaran dan kefahaman masyarakat bahawa kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam negara," katanya.

ADS