Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bukit Bunuh lokasi impak meteorit
Diterbitkan:  Jul 16, 2012 5:11 PM
Dikemaskini: 10:46 AM

Universiti Sains Malaysia (USM) akan menghantar hasil rumusan seminar mengenai penemuan bukti Bukit Bunuh sebagai kawasan impak meteorit ke The Planetary and Space Science Centre (PASSC), University of Brunswick, Kanada pada penghujung tahun ini.

    

Naib Canselornya Prof Datuk Omar Osman berkata hasil rumusan itu penting bagi mendaftarkan Bukit Bunuh sebagai satu daripada 28 tapak impak meteorit dunia yang  mendedahkan bukti 'suevite' daripada keseluruhan 896 tapak impak meteroit dunia.

    

"Dengan pendaftaran tersebut akan menjadikan tapak Bukit Bunuh sebagai salah satu tapak rujukan dunia dalam kajian impak meteorit, ia secara langsung akan meletakkan nama Malaysia dalam Peta Kawasan Impak Meteorit Dunia," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    

Beliau terdahulu merasmikan Persidangan Antarabangsa mengenai Arkeologi Impak Meteorit di Bukit Bunuh, Lenggong Perak. Persidangan anjuran USM itu berlangsung selama empat hari sehingga 18 Julai.

    

Terdapat 16 pembentangan kertas kerja oleh pakar-pakar geologi dan arkeologi serta ucaptama yang akan disampaikan Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global USM Prof Dr Mokhtar Saidin, pakar meteorit dari Natural History Museum, Vienna, Austria Dr Ludovic Ferriere dan pakar arkeologi dari Deccan College, Pune, India Prof Dr Sheila Mishra.

    

Penemuan bukti di Bukit Bunuh yang dijalankan sejak 2001 telah menjadikannya antara tapak Paleolitik terpenting di dunia kerana mendedahkan sebuah kompleks Paleolitik seluas empat kilometer persegi dengan pentarikhan lebih 1.83 juta tahun, 40,000 dan 30,000 tahun dahulu.

    

Kajian itu meletakkan Bukit Bunuh sebagai tapak tertua dunia yang berada di luar Afrika dan mempunyai pentarikhan kronometrik yang telah mengukuhkan lagi bukti prasejarah di Lembah Lenggong serta menjadikannya sebuah lembah arkeologi yang penting di dunia.

    

Penyelidikan di Bukit Bunuh juga telah menemukan bukti faktor kemusnahan budaya awal paleolitik ini akibat jatuhan meteorit pada 1.83 juta tahun dahulu yang telah dikenal pasti melalui bukti geomorfologi, kehadiran batuan 'suevite' dan geologi kawasan.

    

Selain itu, Omar berkata dengan pendaftaran Bukit Bunuh sebagai tapak impak meteorit juga ia akan memberi nilai tambah yang tinggi terhadap warisan Lenggong serta menjadi khazanah negara khususunya pada aspek ketamadunan dunia.

    

"Ini merupakan sebahagian daripada sumbangan universiti kepada dunia, diharapkan Jabatan Warisan, Jabatan Mineral dan Geosains, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Teknologi Petronas (UTP) akan terus bersama USM untuk pemuliharaan Lembah Lenggong sebagai warisan dunia," katanya.

- Bernama

ADS