Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar menganggap tindakan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) membeli saham Felda Global Ventures Holding Berhad (FGVH) "bukan satu sabotaj walaupun berpendapat ia tidak sepatutnya berlaku".

Sebaliknya, beliau berpendapat ia mungkin disebabkan "kegagalan pegawai yang terbabit memahami dan menjiwai keputusan politik dan parti" yang menguasai negeri tersebut.

"Saya tidak menganggap perkara ini sebagai sabotaj. Tetapi mereka berfikir ini berniaga, (ada) untung, rugi. (Lagipun) duit itu bukan kepentingan mereka atau menteri besar.

"Duit itu, kalau untung, untuk pembangunan negeri dan rakyat," katanya sambil menegaskan bahawa pembelian saham itu dibuat tanpa merujuk kepada lembaga pengarah PKNK.

Sebelum ini, Ketua eksekutif PKNK Datuk Abdul Rahman Ibrahim dilapor mengesahkan perbadanan itu membeli 500,000 unit saham FGVH di bawah peruntukan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) yang ditawarkan kepada Bumiputera.

Abdul Rahman menegaskan bahawa pemilikan saham FGVH oleh PKNK adalah mengikut prosedur sah dan tiada kaitan dengan politik.

Difahamkan pejabat menteri besar turut menjelaskan bahawa keputusan pembelian saham itu dibuat sebelum dibawa kepada pengetahuan lembaga pengarah.

Ditanya mengenai tindakan PAS berhubung perkara tersebut, Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena berkata:

"Lembaga pengarah pun sedar, mereka (telah) memaklumkan kepada saya. Mereka buat keputusan selepas beli saham. Akhirnya mereka kata, lepas ini kena jual. Sebab itu (mereka akan) jual berperingkat".

"Nak kata apa dah, sudah beli. Jadi bagi saya mengambil masa untuk kita nak mengubah pegawai bahawa amalan kita harus berbeza dengan kerajaan dulu," katanya.

Bagaimanapun, beliau menghormati pegawai yang bekerja "secara profesional" dan mereka tidak melihat pendirian politik dan parti yang menguasai kerajaan".

"(Saya) tidak menganggap pegawai ini bersikap khianat. Tidak. Dia bukan beli untuk keuntungan peribadi, tapi menguntungkan perbadanan... Mereka tengok boleh buat duit atau tidak," katanya .

Tindakan PKNK membeli saham FGVH menjadi buah mulut dalam blog dan twitter pro-Pakatan dan pro-Umno. Ini kerana penyenarian anak syarikat Felda itu ditentang hebat oleh Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (ANAK) yang dipimpin oleh ahli jawatankuasa PAS pusat, Mazlan Aliman.

Kemuncak penentangan tersebut ialah perhimpunan Oren serta perarakan ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum memohon campurtangan Yang di-Pertuan Agong berhubung penyenaraian FGVH Sabtu lalu.

Perhimpunan serta perarakan yang secara aman itu dianjurkan oleh Gerakan Selamatkan Felda yang dianggota daripada 50 NGO yang menentang penyenaraian tersebut.

ADS