Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Pemimpin Umno perlu lebih agresif tangani pembangkang'
Diterbitkan:  Jul 18, 2012 8:49 AM
Dikemaskini: 1:13 AM

Pemimpin Umno diingatkan tidak hanya berpeluk tubuh tetapi lebih agresif menangani serangan pembangkang yang didakwa semakin "mengganas" menjelang pilihan raya umum ke-13 (PRU-13), kata seorang pemimpin bahagian parti itu.

    

NONE Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Wira Syed Ali Alhabshee berkata serangan yang didakwanya fitnah pembangkang dilihat semakin ketara menerusi portal berita dan laman sosial dengan menjadikan pengundi baharu sebagai sasaran.

    

"Saban hari kita baca pelbagai paparan maklumat dan pendedahan yang dipalsukan oleh pembangkang untuk memburukkan kerajaan dan jika kita masih mengambil sikap defensif (bertahan), lambat-laun fitnah itu akan dianggap sebagai sahih.

    

"Sikap 'berpeluk tubuh' di kalangan sesetengah pemimpin Umno dan sentiasa berasa selesa harus diubah kerana saingan semasa PRU ke-13 dijangka sengit dalam sejarah pilihan raya di negara ini," katanya semalam.

    

Syed Ali berkata golongan muda yang menjadi pengundi majoriti pada PRU ke-13 hendaklah didekati secara lebih konsisten bagi memastikan tahap keyakinan mereka terhadap kerajaan BN tidak terhakis.

Katanya, walaupun pembangkang mengeksploitasikan beberapa isu yang menurutnya berbau fitnah tetapi jika tidak disekat, lambat-laun ianya mampu mengubah persepsi rakyat bahawa apa yang dilontarkan itu sebagai benar.

Beliau mengakui kerajaan BN bersikap terbuka dan tidak pernah menyekat kebebasan media tetapi kemunculan media alternatif menerusi jaringan teknologi maklumat sedikit sebanyak memberi kesan negatif kepada kerajaan.

"Fenomena ini harus ditangani secara lebih berhemah dan agresif kerana sejarah PRU ke-12 telah membuktikan pendekatan defensif Umno mengakibatkan pembangkang berjaya menembusi kawasan yang selama ini dikuasai oleh BN," katanya.

- Bernama

ADS