Most Read
Most Commented
Read more like this

Penduduk Kampung Baru Plentong Tengah dalam keadaan tidak menentu apabila mereka tidak mempunyai sebarang perlindungan undang-undang. Menurut peguam syarikat pemaju yang dibenarkan membangunkan tanah tersebut, hanya 52 orang sahaja daripada lebih 200 penduduk tidak akan diganggu.

"Hanya 52 penduduk kampung tersebut yang mendapat persetujuan mahkamah, manakala yang lain boleh dikenakan tindakan pada bila-bila masa," kata peguam yang mewakili Bukit Lenang Development Sdn Bhd, Izzat Othman, yang hadir di Mahkamah Rayuan Kuala Lumpur pagi tadi.

Mahkamah hari ini memutuskan 52 penduduk kampung, yang diwakili peguam Karpal Singh, masih dibenarkan tinggal di situ sehingga kes tersebut didengar 3 April ini.

Penduduk kampung tersebut menfailkan rayuan bagi menghalang perintah pengusiran dari Mahkamah Tinggi Johor Bahru yang diperolehi oleh BLD.

Nasib penduduk selebihnya yang diwakili oleh dua lagi peguam tidak mendapat sebarang proses mahkamah untuk menangguhkan perintah pengusiran tersebut.

Mereka sebelum ini diwakili oleh dua orang peguam, Norhayati Mohamad dan Abd Razak Ahmad.

Bagaimanapun, menurut salah seorang peguam terbabit kepada malaysiakini , rumah 52 orang itu berada dalam keadaan yang menyulitkan tindakan BLD. Beliau berkata pihaknya tidak yakin syarikat pemaju itu akan mengambil langkah mengusir dalam masa terdekat ini.

Peguam itu juga berkata pihaknya sedang menfailkan kebenaran untuk merayu di mahkamah di Johor Bahru.

Sementara itu, 38 penduduk kampung tersebut yang tidak berpuas hati dengan khidmat guaman yang mereka terima telah bertindak mengambil khidmat Karpal Singh, menyertai 52 lagi penduduk.

Malaysiakini pernah melaporkan bahawa dalam masa 15 tahun, penduduk kampung cuba mendapatkan hak milik tanah tersebut tetapi gagal.

Penduduk telah melantik sejumlah 11 peguam dalam tempoh tersebut untuk menguruskan pembelian tanah tetapi ramai peguam menipu dan melarikan wang penduduk yang dianggarkan sejumlah RM420,000.

Menurut sumber penduduk kampung, laporan polis dibuat pada 18 Februari 1994, namun sehingga kini masih belum ada sebarang tindakan daripada pihak berwajib.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS