Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa semua imam dan ahli jawatankuasa masjid di seluruh negara supaya "menentang habis-habisan" fahaman dan golongan yang menyimpang dengan ajaran Islam.

Dalam ucapannya kepada lebih 10,000 imam dan ahli jawatankuasa masjid hari ini, Najib antara lainnya berkata golongan itu perlu menentang kumpulan lesbian, gay dan juga fahaman seperti liberalisme dan pluralisme. 

NONE "Siapa yang mengancam akidah, akhlak, kesucian Islam wajib kita perjuangkan menentang mereka. Tidak kira dari sudut mana.

"Kalau (pihak) yang mengamalkan sudah menyimpang dengan lesbianlah, apa bendalah, homoseksuallah, apalah, pluralismelah, liberalismelah, (dan) apa isme yang bertentangan dengan Islam.

"Atas nama apa sahaja, wajib kita tentang habis-habisan. Ini perintah Allah (dan) Maqasid Syariah," katanya.

Berucap dalam Majlis Perhimpunan Perdana di Serdang itu, Najib berkata agama Islam juga menuntut supaya umatnya menjaga nyawa, akal, keturunan dan harta benda seperti mana yang dituntut dalam Maqasid Syariah (Tujuan-tujuan syariat).

Najib juga mengingatkan imam dan ahli jawatankuasa masjid tersebut supaya tidak mencemarkan kesucian masjid dengan "mencari keuntungan tertentu, untuk mendapat pengaruh atau melontar perasaan benci kepada pihak lain.

NONE "Masjid bukan gelanggang untuk mengecam umat lain, tetapi masjid adalah tempat untuk melakukan ibadat dengan keadaan tenang dan tenteram jiwa, mengajak dengan cara yang baik, dan berdakwah dengan bijaksana dan hikmah. Inilah peranan masjid," katanya.

Dengan memberi contoh di zaman Rasullah SAW, baginda pernah mengarahkan sebuah masjid diruntuh dan dibakar kerana golongan munafik menggunakan untuk menaburkan fitnah sesama umat Islam

"Ini (perkara) serius dalam Islam. Jangan ada tempat seperti ini. Tidak perlu dijadikan platform untuk menabur fitnah kepada umat Islam," katanya.

Dalam majlis itu juga Najib yang juga menteri kewangan menghadiahkan lebih 14 ribu imam di seluruh negara yang kain yang "baik dan berkualiti" kepada para imam untuk membuat jubah sempena Aidilfitri.

Bahkan lebih 130,000 ahli jawatankuasa masjid turut mendapat faedah yang sama, tambah Najib yang juga presiden Umno.

Selain itu, kerajaan juga memutuskan untuk membekalkan dua tong air zam-zam dan buah kurma kepada seluruh masjid dan surau dalam negara.

ADS