Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Golongan muda pilih calon ada pegangan agama'

Calon yang berpegang teguh pada agamanya, bersikap amanah, berjiwa bersih dan benar adalah ciri-ciri bakal pemimpin yang bakal dipilih oleh golongan muda dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

    

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Malaysia Fathul Bari Mat Jahaya berkata golongan muda masa kini yakin pemimpin yang mempunyai ciri-ciri terbabit dapat melaksanakan tanggungjawab serta boleh memimpin negara dengan baik.

    

"Dalam Islam, pemimpin yang mempunyai asas agama boleh memimpin dengan baik tanpa mudah terpesong dan mereka ini akan mengawal sifatnya untuk sentiasa melakukan yang terbaik," katanya pada debat antara beliau dan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia Nasruddin Hassan di Shah Alam.

    

Debat yang disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Awani dan Bernama Radio24 selama sejam setengah itu bertajuk 'PRU KE-13, Orang Muda Pilih Siapa' dengan Pensyarah Jabatan Pengajian Strategik dan Antarabangsa dari Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya Prof Datuk Mohamad Abu Bakar  bertindak sebagai moderator.

    

Fathul turut menyelar pemimpin yang menggunakan agama bagi tujuan kepentingan parti semata-mata kerana baginya agama memainkan fungsi utama dalam menyatukan umat Islam walaupun berbeza fahaman politik mereka.

    

"Jangan gunakan agama untuk kepentingan politik dan peribadi...walaupun anda mempunyai ilmu agama yang tinggi, itu tidak bermakna anda mampu mentadbir negara dengan baik," katanya.

    

Dalam sesi debat itu, Fathul Bari turut menyeru golongan ulama supaya membantu dengan menyuarakan pandangan serta nasihat bagi menangkis fitnah mengenai kerajaan dan Islam.

    

Beliau berkata peranan dan kelantangan golongan itu akan dapat membantu dalam menangkis fitnah yang ditujukan kepada kerajaan.

    

"Kini, kita berdepan dengan fitnah yang mana banyak dikeluarkan melalui blog-blog...sebagai ulama kita seharusnya berani menegur dan perlu memainkan peranan dalam memperincikan maklumat yang disampaikan kepada rakyat tanpa ada pengaruh fitnah," katanya.

    

Sementara itu, Nasruddin turut bersetuju bahawa faktor agama mampu melahirkan pemimpin yang bersih daripada segala anasir negatif termasuk mengekang daripada melakukan rasuah.

    

Pada debat itu, beliau turut menegaskan bahawa PAS tidak akan bersekongkol dengan DAP berhubung isu yang membabitkan agama.

    

"PAS tolak pemimpin yang makan rasuah dan kita juga mahu pemimpin yang mengangkat agama. Sebab itu, kita tidak bersekongkol dengan DAP berhubung isu agama...hal-hal politik kita boleh bekerjasama tapi bukan dalam bab agama," katanya.

- Bernama

ADS