Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sekumpulan lebih 100 orang penyokong kerajaan negeri Selangor berhimpun di hadapan pejabat Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) di Shah Alam hari ini sebagai sokongan kepada kerajaan negeri untuk mengambil alih pemegang konsesi air tersebut.

NONE Beberapa pemimpin Pakatan Rakyat, termasuk ADUN Sri Muda Shuhaimi Shafiei dan MP Shah Alam Khalid Samad memimpin perhimpunan yang bermula jam 12 tengahari itu.

Selain pemimpin parti Pakatan Rakyat, turut hadir dalam perhimpunan itu adalah Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Azmizam Zaman Huri,  wakil Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dan pemimpin Gabungan NGO Selangor.

Kumpulan berkenaan membawa kain rentang dengan slogan "Kembalikan air kepada rakyat", "Hentikan catuan air", dan "Pecat Tan Sri Rozali Ismail".

Sebelum itu, Khalid ketika berucap di hadapan bangunan SYABAS itu meminta agar Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings dan Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (PNSB), Tan Sri Rozali Ismail supaya tidak bermain politik dan menjaga air Selangor dengan baik.

"Dia dibayar gaji yang tinggi tetapi tidak jalankan tugas dengan baik. Sebagai (pengerusi eksekutif) SYABAS, perlu menjaga air di Selangor. Jangan main politik. Tunaikan amanah dengan baik. Alasan nak bawa air mentah dari Pahang terbukti alasan tak berasas," katanya.

NONE Lima memorandum turut diserahkan kepada wakil SYABAS dalam perhimpunan berlangsung selama kira-kira 45 minit itu.

Memorandum tersebut, yang diterima oleh pengarah eksekutifnya Ismail Hashim, menggaris tujuh perkara yang antara lainnya membantah cadangan SYABAS untuk mencatu bekalan air.

Memorandum itu juga menuntut supaya SYABAS berhenti daripada mensabotaj kerajaan negeri Selangor dalam isu bekalan air dan turut menyatakan bantahan keras ke atas pembinaan Loji Langat 2.

NONE Memorandum daripada AMK Selangor itu membantahan catuan air di beberapa kawasan di negeri Selangor kerana menyebabkan kesusahan kepada penduduk di kawasan berkenaan dan mengganggu aktiviti kehidupan harian.

Ia turut menuntut supaya SYABAS berhenti daripada mensabotaj kerajaan negeri Selangor dalam isu bekalan air. Hal ini kerana, SYABAS dilihat tidak profesional dan tidak mengutamakan keperluan pengguna.

"SYABAS dilihat tidak profesional dan tidak mengutamakan keperluan pengguna yang lebih bersifat kepada tindakan sabotaj kerajaan Pakatan Rakyat Selangor menjelang pilihan raya umum ke-13 bagi mengikis keyakinan rakyat terhadap kerajaan pakatan.

NONE "Selangor kehilangan 60 projek pelaburan akibat perkhidmatan bekalan air yang tidak memuaskan. Sebanyak 162 buah projek pembangunan di Selangir tidak diluluskan SYABAS dan membuktikan SYABAS tidak layak menguruskan air di negeri ini," memorandum itu dipetik.

Memorandum berkenaan juga menyatakan bantahan keras ke atas pembinaan Loji Langat 2. Menurut memo itu, projek Langat 2 dilihat akan membebankan rakyat dengan kenaikan tarif air sehingga 70 peratus.

Kos penyaluran air mentah dari Pahang ke Selangor dan pembinaan Langat 2 menelan perbelanjaan RM8.65 bilion itu akan 'dipaksakan' ke atas rakyat Selangor, memorandum itu dipetik.

VIDEO | 3.44 min

ADS