Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri itu hanya mampu untuk mengemukakan cadangan kepada lembaga pengarah Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) supaya memecat dua orang pegawai tertinggi syarikat berkenaan.

Katanya, beliau akan mengemukakan cadangan tersebut kepada lembaga pengarah SYABAS supaya memecat  pengerusi eksekutif syarikat itu Tan Sri Rozali Ismail dan ketua pegawai eksekutifnya, Datuk Ruslan Hassan.

"Kita mencadangkan dan menjadi tugas lembaga pengarah untuk buat tindakan. Kita tidak perolehi apa-apa keuntungan disebalik pemecatan mereka," katanya pada sidang media di pejabat kerajaan Selangor hari ini.

Khalid juga berkata, dua pegawai tertinggi SYABAS itu tidak hadir dalam mesyuarat dan tidak memberi penjelasan kepada jawatankuasa pemantauan syarikat tersebut.

Tindakan itu merupakan perkara yang tidak membawa keuntungan kepada SYABAS, katanya

"SYABAS membayar lebih daripada RM400 ribu sebulan untuk seseorang menjaga syarikat itu tetapi, dia tidak ada masa pula untuk hadir mesyuarat.

"Ini adalah satu contoh jelas bahawa individu seperti ini tidak memberi sebarang keuntungan kepada rakyat Selangor dengan servis dan tarif air yang mereka bayar," katanya lagi.

Jawatankuasa khas kabinet dibentuk untuk mengkaji isu air di Selangor semalam memutuskan bahawa terdapat perkara pokok dan prosedur yang masih belum dipenuhi untuk membenarkan Selangor mengambil alih SYABAS.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS