Parti politik baru di Sabah?

Sekumpulan Kadazandusun dikatakan akan menubuhkan satu pergerakan politik yang mungkin bekerjasama dengan pakatan pembangkang, kata sumber di Kota Kinabalu.
    
Dikenali sebagai Barisan Pembaharuan Sabah (SRF-Sabah Reform Front), penubuhannya dijangka diumumkan secara rasmi di Dalit, Tuaran, Ahad ini.
    
Sumber itu juga berkata ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghadiri satu perhimpunan khas di Tuaran pada tengah hari Ahad.
    
Anwar juga dijangka menghadiri satu lagi majlis di Beaufort.
    
Orang dalaman parti pembangkang menyebut Tuaran dan Beaufort merupakan kawasan di mana mereka mungkin mendapat sokongan.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadual melawat Sabah pada Sabtu ini.
    
Menurut kenyataan Jabatan Penerangan Sabah, beliau dijadual melakukan tinjauan mesra di Bazar Indah Permai di Sepanggar, sejurus tiba di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Di majlis berbuka puasa bersama rakyat di Masjid Jamek, Kampung Likas selepas itu, Muhyiddin akan merasmikan Anjung Ilmu masjid berkenaan serta menyampaikan zakat kepada warga emas, ibu tunggal dan saudara baru.

Turut diadakan di majlis itu, penyampaian kunci rumah kepada pemilik rumah Projek Perumahan Rakyat (PBR) dan penyampaian sumbangan kepada Masjid Jamek oleh beberapa tokoh korporat yang keseluruhannya bernilai RM70,000.
    
Dalam siri lawatan Muhyiddin ke negeri-negeri sempena Ramadan ini, beliau turut mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan air zam-zam dan buah kurma kepada anggota jawatankuasa masjid berkenaan sebelum berlepas pulang ke ibu negara.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.