Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) bersetuju harga kereta diturunkan dengan cara pemotongan duti eksais dan cukai import terhadap kereta.

Presidennya, Datuk Zainuddin Abdul Rahman berkata dengan cara itu, kereta bukan sahaja akan mampu dimiliki orang ramai tetapi pada masa sama ia juga akan merancakkan industri penjualan kereta tempatan.

"Biasanya apabila hampir dengan Hari Raya, secara purata pusat jualan kereta mampu menjual kira-kira 70 ke 80 buah kereta, sekarang hendak jual 20 buah pun susah," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu memberi maklum balas kepada rancangan Pakatan Rakyat untuk menurunkan harga kereta dengan menghapuskan duti eksais dan cukai import.

Zainuddin bagaimanapun mengakui penghapusan duti eksais dan cukai import ke atas kereta akan menyebabkan negara kehilangan sedikit sumber pendapatan daripada cukai.

Namun katanya, negara masih mampu memperolehi sumber pendapatan yang jauh lebih tinggi daripada sumber ekonomi selain daripada cukai ke atas kereta.

"Kalau hapuskan cukai ke atas kereta, apalah sangat kesan kepada pendapatan negara sebanyak satu atau dua bilion itu," katanya.

Pada masa sama, beliau turut menyuarakan kebimbangannya terhadap industri kereta tempatan yang mungkin terjejas akibat penghapusan cukai tersebut.

Menurutnya, penghapusan cukai dan duti itu akan hanya memberi kelebihan kepada kereta-kereta import, dan bukannya kereta keluaran tempatan.

"Kalau kerajaan (sendiri) hendak hapuskan, saya menyokong penuh tetapi yang jadi masalah kereta tempatan.

"Contohnya daripada segi bahan mentah, kita masih jauh ketinggalan, orang dah pakai robot kita masih pakai tenaga manusia," katanya.

ADS