Lynas tarik balik saman selepas FMT minta maaf

Lynas Corporation Limited dan Lynas Malaysia Sdn Bhd hari ini menarik balik saman selepas pengendali portal berita 'Free Malaysia Today (FMT)', MToday News memohon maaf kepada Lynas atas penyiaran artikel memfitnah yang disiarkan dalam lamanwebnya.
    
Penyelesaian saman itu direkod di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nor Bee Ariffin.

Peguam MToday Rueben Mathiavaranam memberitahu pemberita bahawa sebagai sebahagian daripada terma penyelesaian, Lynas menarik balik saman dan defendan berjanji tidak akan menyiarkan lagi sebarang kenyataan anti Lynas.
    
"Mahkamah juga membuat keputusan itu tanpa perintah untuk membayar kos, tiada bayaran kerosakan dan tiga artikel terlibat perlu dikeluarkan dari (lamanweb) FMT," katanya.
    
Pada 17 Julai, MToday menyiarkan permohonan maaf di laman webnya www.freemalaysiatoday.com atas penyiaran tiga artikel yang yang mendakwa Loji Lynas mungkin tidak selamat untuk orang ramai.

"Kami meminta maaf atas penyiaran itu memandangkan dakwaan semumpama itu tidak mempunyai asas saintifik," kata kenyataan permohonan maaf itu.
    
Pada 19 April lepas, Lynas Corporation of Sydney, Australia dan Lynas Malaysia memfailkan saman terhadap MToday News, kerana menyiarkan artikel berunsur fitnah dalam laman webnya pada 6 Mac lalu.
    
Dalam saman itu, Lynas memohon gantirugi am dan ganti rugi teruk, kos dan injunksi bagi menghalang Mtoday News daripada terus menerbitkan artikel memfitnah mengenai Lynas.

Peguam Rishwant Singh mewakili Lynas.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.