Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Utusan: Alasan tunda Tanda Putera 'tak masuk akal'
Diterbitkan:  Jul 29, 2012 11:18 PM
Dikemaskini: Jul 30, 2012 6:08 AM

Utusan Malaysia menggesa supaya filem Tanda Putera tetap ditayangkan pada 13 September seperti yang telah dipersetujui dalam syarat wajib tayang oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) tersebut.

Pojok tulisan penolong pengarang Utusan Ku Seman Ku Hussain dalam edisi hujung minggu akhbar itu menyatakan bahawa alasan untuk menunda tarikh tayangan berkenaan "tidak masuk akal".

Menurut Finas, penayangan filem berkenaan ditunda ke satu tarikh yang tidak ditetapkan untuk memberi masa bagi lebih banyak usaha promosi.

Ku Seman bagaimanapun berkata filem arahan Shuhaimi Baba itu menjadi mangsa kepentingan politik.

"Menunda filem ini bererti menafikan peluang rakyat menghayati sumbangan besar (bekas perdana menteri) Tun Razak (Hussein) dan Tun Dr Ismail (Abdul Rahman) mengepalai negara pada awal kemerdekaan," katanya.

Bahan publisiti filem tersebut yang menonjolkan tindakan kumpulan Cina melaungkan slogan anti-Melayu dalam perarakan yang membawa kepada rusuhan 13 Mei menimbulkan rasa meluat oleh sesetengah pengguna Internat.

Walaupun DAP masih belum membuat kenyataan rasmi berhubung filem tersebut – kerana mungkin tidak berpeluang menyaksikannya – Ku Seman berpendapat bahawa parti tersebut bertanggungjawab dalam serangan ke atas filem berkenaan.

"Saya menonton filem ini sebanyak tiga kali dan mendapati Tanda Putera bukan semakan semula sejarah 13 Mei. Shuhaimi Baba pula bukan revisionist yang berniat jahat menghitamkan watak DAP.

"Sebab itu digambarkan juga orang Melayu membelasah Cina. Dari sudut pengkaryaan, ini satu tanggungjawab supaya kelihatan seimbang bagi meredakan sentimen perkauman kedua-dua kaum," katanya.

Filem Tanda Putera merupakan usaha pengarah untuk memggambarkan peranan Tun Razak dan Tun Dr Ismail dalam usaha menyatupadukan semula kaum selepas 13 Mei 1969.

ADS