Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Umno Sabah akan menyerahkan kepada pucuk pimpinan Umno dan BN bagi menentukan kedudukan Datuk Seri Lajim Ukin sebagai anggota Umno selepas beliau mengumumkan peletakan semua

jawatan dalam parti di Kota Kinabalu, semalam.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata parti itu menyedari bahawa Lajim tidak lagi bersama-sama dalam perjuangan Umno dan BN.

"Jadi, kita serahkan kedudukan beliau kepada pucuk pimpinan Umno dan BN," katanya pada sidang akhbar sempena Majlis Berbuka Puasa anjuran Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) di Menara Usia 1Borneo, dekat Kota Kinabalu hari ini.

Musa yang juga Pengerusi BN negeri diminta mengulas tindakan Lajim meletakkan jawatan sebagai Anggota Majlis Tertinggi Umno, Ketua Umno Bahagian Beaufort dan pengerusi BN Beaufort berkuatkuasa serta merta.

Bagaimanapun, ketika mengumumkan perkara itu, Lajim dipetik sebagai berkata bahawa beliau masih kekal sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan ahli Umno.

Musa menekankan bahawa apa juga masalah dalam BN dan Umno, ia boleh dibincang dan diselesaikan secara bersama dalam semangat BN.

“Saya sering mengingatkan kepada semua kepimpinan bahawa dalam perjuangan kita ini, perjuangan parti adalah penting dan keihklasan kita kepada parti dan pemimpin itu penting dan bukan peribadi kita.

Katanya, Umno akan terus bekerjasama dengan parti komponen BN yang lain untuk bersiap siaga memastikan persediaan rapi bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

"Memang lumrah dalam mana-mana gabungan parti politik atau dalam parti memang ada perbezaan pendapat mengenai sesuatu perkara.

"Tetapi jika benar-benar ikhlas dan sanggup bertolak ansur, apa juga masalah boleh kita atasi. Suka saya tekankan bahawa ini bukanlah perjuangan individu tertentu, apa yang penting adalah kesetiaan kita kepada perjuangan parti," katanya.

Musa berkata bermacam-macam tuduhan telah dibuat menerusi media namun sebagai pemimpin Umno dan BN Sabah, "Saya sentiasa memberikan sokongan kepada beliau (Lajim) sama seperti yang saya berikan kepada semua wakil rakyat Umno dan BN".

Beliau berkata ini termasuk memberikan sokongan dan bantuan kepada banyak program dan aktiviti beliau.

"Mungkin beliau mempunyai agenda tersendiri...apapun sebagai sahabat saya ucapkan selamat maju jaya kepada beliau," katanya.

Ditanya mengenai tindakan timbalan presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Bersatu (Upko) Datuk Wilfred Bumburing meninggalkan BN, Musa berkata: “Perkara ini bukan baru, perkara ini sudah lama kita ketahui tapi baru hari ini beliau buat keputusan...terpulang kepada parti mereka”.

“Semua orang bebas membuat keputusan, yang penting saya katakan, kita mesti ikhlas dalam perjuangan kita. Ini yang penting. Umno dan BN sentiasa bekerjasama, kita akan terus pastikan program dan projek yang kita laksanakan dapat diteruskan untuk rakyat," katanya.

Musa berkata sokongan rakyat terhadap BN tidak terjejas berikutan tindakan Lajim dan Bumburing, dan menegaskan bahawa tidak ada krisis dalam BN Sabah.

Sementara itu di Kuala Lumpur, Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata tindakan Lajim meletak jawatan dalam parti adalah asam garam politik. 

Mohd Shafie, yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, berkata dalam sejarah Umno sendiri, pengasas parti iaitu Dato Onn Jaafar pernah bertindak keluar parti.

"Malah, Umno juga pernah diharamkan dan anggota yang cukup tinggi jawatan dalam parti pun pernah keluar Umno, jadi ini bukan perkara baru," katanya kepada pemberita selepas menutup mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Seputeh 2012 hari

ini.

Beliau berkata desas-desus Lajim ingin meninggalkan Umno telah lama didengar namun ia sering dinafikan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu.

Bagaimanapun, Mohd Shafie berkata tindakan Lajim dan Bumburing meninggalkan BN tidak boleh dianggap sebagai perkara kecil.

"Kita kena pastikan bahawa kekuatan BN dan Umno di Sabah terus dimantapkan serta jangan alpa... rakyat juga perlu bijak memilih," katanya.

- Bernama

ADS