Setiausaha PAS Pulau Pinang Mohd Nor Harun juga berkata perlantikan Salleh dibuat "tepat pada masanya dan merupakan kali pertama" wakil PAS negeri itu dilantik ke jawatan berkenaan.
"Ya, pelantikan itu ditepati selepas diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong. Janji memang ditepati. Walaupun nampak istilah itu macam BN, tapi tak apa, tak ada masalah boleh guna (perkataan itu)," katanya.
Mohd Nor mengulas pelantikan Salleh (kanan) yang juga ADUN Permatang Pasir sebagai YDP MAIPP yang baru berkuatkuasa pada 27 Julai lalu dan kontrak akan berakhir pada 31 Disember 2013.Pelantikan tersebut dibuat selepas Pakatan Rakyat berjanji akan menyerahkan jawatan tersebut kepada PAS sekiranya Salleh berjaya menang dan mengekalkan kerusi Permatang Pasir dalam pilihan raya kecil itu empat tahun lalu.
Sebelum ini berlakunya perebutan antara Mohd Salleh dan bekas pengarah Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM) Ellias Zakaria yang akan mengetuai MAIPP sehingga akhirnya Pakatan akur dengan keputusanYang di-Pertuan Agong ketika itu berkenan melantik Ellias dilantik ke jawatan itu.
Persiapan soft skill
Bercakap kepada Malaysiakini Mohd Nor berkata pihaknya menyambut baik dan "memang sesuai" Salleh dilantik ke jawatan itu memandangkan beliau yang mempunyai latar belakang akademik dalam bidang syariah dalam usaha mentadbir urus MAIPP dengan berkesan.
"Harapan kita khususnya PAS dapat membantu umat Islam (menyelesai masalah) khususnya berkaitan tanah wakaf dan tadbir urus Islam (di negeri itu)," katanya.
Ditanya bagaimana PAS negeri boleh membantu Salleh bagi memperkukuhkan tadbir urus Islam di negeri itu, Mohd Nor yang juga naib yang dipertua kawasan Bagan berkata:"Kami mempunyai 18 lajnah yang boleh membantu beliau memberi input kepada beliau khususnya lajnah tanah untuk menyelesaikan masalah tanah wakaf. Kalau masalah belia, kami ada Dewan Pemuda dan Muslimat.
"Kita akan menyumbangkan idea. Kita (juga) kena banyak membantu (beliau) khususnya menyediakan persiapan dalam bidang soft skill (kepada anggota parti)," kata Mohd Nor.
Mohd Nor mengakui tugas Salleh lebih mencabar selepas memikul tanggungjawab yang dipertua MAIPP.