Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Jabatan Perikanan memberi perhatian serius berhubung masalah penggunaan pukat tunda di negara ini.

Perkara ini wajar diambil tindakan segera kerana isu kekurangan sumber perikanan dan kesannya ke atas kehidupan nelayan pantai kini semakin meruncing.

Mengulas kejadian pencerobohan bot pukat tunda di kawasan nelayan pantai dekat Kuala Muda dan Penaga daerah Seberang Perai Utara baru-baru ini membuktikan kelemahan dalam penguatkuasaan Akta Perikanan 1985 masih berlaku dan gagal membanteras aktiviti tersebut.

CAP menyokong saranan Pengerusi Persatuan Nelayan Seberang Perai Mahadi Md Rodzi supaya penggunaan pukat tunda diharamkan dalam sektor perikanan di negara ini.

Ini kerana masalah ancaman pencerobohan oleh pukat tunda yang berlaku sejak tahun 60-an gagal diambil tindakan dengan berkesan oleh pihak berkuasa dan berlarutan hingga sekarang.

Alat tangkapan ini bukan saja mengancam benih ikan dan sumber perikanan di perairan negara malah telah menyebabkan puluhan ribu nelayan pantai hidup menderita akibat kemerosotan hasil tangkapan dan sumber pendapatan yang dialami.

Dalam tinjauan yang dibuat oleh CAP di Perlis ,Kedah dan Pulau Pinang mendapati lebih 10,000 nelayan pantai di negeri-negeri berkenaan terjejas sumber pendapatan mencecah 70 peratus setiap kali berlakunya pencerobohan oleh bot pukat tunda di kawasan tangkapan mereka (Zon A, 5 batu nautika dari pantai).

CAP difahamkan oleh nelayan-nelayan yang terlibat,sebuah bot pukat tunda memerangkap dan membunuh lebih 60 peratus anak ikan (benih) berbagai jenis termasuk yang bermutu tinggi.

Setakat ini lebih 50 spesies ikan yang dahulunya banyak terdapat di kawasan pantai di sini telah pupus dan penyumbang utama kepada masalah ini ialah aktiviti bot pukat tunda yang tidak terkawal.

Beberapa buah negara di dunia seperti Hong Kong, Venezuela, Palau, Belize, Jepun dan Indonesia telah mengharamkan penggunaan pukat ini kerana ia memberi kesan buruk ke atas sumber perikanan dan hidupan laut.

Malaysia perlu melaksanakan langkah yang sama demi mengekalkan sumber perikanan negara dan makanan untuk masa depan rakyat di sini.


sm mohd idris SM MOHAMED IDRIS presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP). Artikel pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini .

ADS