Nik Aziz: Tak boleh sekat YB kahwin ramai

PAS tidak menghalang wakil rakyatnya untuk berkahwin lebih daripada satu asalkan berkemampuan dan memenuhi syarat-syarat untuk berpoligami, kata Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

NONE"Kita tidak boleh sekat mereka (wakil-wakil rakyat PAS) nak kahwin berapa pun, walaupun sampai empat orang, itu masalah peribadi dan ia tidak bercangah dengan Islam asalkan ikut peraturan dan syarat-syaratnya," kata menteri besar Kelantan itu.

Nik Abdul Aziz berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguannya di Dataran Ilmu di Kota Baharu, hari ini.

Beliau mengulas senario ramai wakil rakyat dari parti itu berkahwin lebih daripada satu termasuk dakwaan melalui blog dan Twitter yang mendakwa seorang anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri itu telah mengahwini selebriti Abby Abadi (bawah) yang baru-baru ini menyertai PAS.

Bagaimanapun, ADUN berkenaan menafikan beliau berkahwin dengan selebriti itu.

NONENik Abdul Aziz berkata berkahwin ramai tidak menjadi kesalahan kerana ia menjadi hak peribadi seseorang.

Ditanya apakah tindakan sesetengah pemimpin politik PAS yang kahwin ramai itu boleh menjejaskan politik mereka, Nik Abdul Aziz berkata: "Itu dia punya pasal.

"Berkahwin boleh tapi biar dia fahamlah syarat, jangan semata-mata nak puaskan nafsu, jangan...(kerana) isteri hamba Allah juga. kewajiban kita jaga hamba Allah... Dia (isteri) izin, dia puas hati tak apa," katanya.

Dalam perkembangan lain, Nik Abdul Aziz berkata kerajaan negeri Kelantan juga akan membayar setengah bulan gaji dan bonus RM500 kepada kakitangan awamnya sebagaimana dilaksanakan kerajaan pusat, sebelum hari raya ini.

"Perkara ini telah diputuskan di dalam perbincangan di peringkat negeri dan saya sendiri tanda tangan (kelulusan)," katanya.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.