Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat melancarkan penubuhan satu tabung amanah bagi membiayai pembinaan satu lebuh raya baru menghubungkan Kota Bharu-Kuala Krai (KBKK).

Nik Aziz dalam ucapannya di Sham Alam semalam berkata ia bertujuan untuk membiaya pembinaannya secara wakaf agar pengguna tidak dikenakan tol apabila lebuh raya rakyat itu beroperasi kelak.

"Orang Kelantan sering beri derma surau, sekolah dan kebajikan lain. Mereka derma kerana pahala dan kerana kerajaan tidak beri peruntukan.

"Pemimpin kerajaan tidak tahu tentang kesesakan 4 hingga 5 jam jalan raya di Kelantan, kerana mereka tidak memandu, sebaliknya guna kapal terbang," katanya pada majlis anjuran Persatuan Anak Kelantan Perantauan Malaysia (Perakan) itu.

Dalam majlis sama, exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa menjelaskan lebuh raya empat lorong dua hala sepanjang 73 kilometer itu menelan belanja kira-kira RM500 juta.

Husam berkata, kerajaan negeri telah mendahulukan wang untuk pembinaan lebuh raya itu buat masa ini.

Wang derma terkumpul setakat ini sebanyak kira-kira RM3 juta katanya akan turut digunakan untuk membina lebuh raya jajaran bertingkat dari Kota Bharu ke Wakaf Che Yeh yang melonjakkan kos pembinaan kepada RM1.8 bilion.

Bagaimanapun pembinaan jajaran tersebut, yang merupakan salah satu daripada pakej lebuh raya rakyat KBKK, masih ditangguhkan buat masa ini, katanya.

Buat masa ini tambahnya, kerajaan akan membina lebuh raya tersebut berdasarkan kemampuan.

"Kalau 42 kilometer kita boleh bina dahulu, selebihnya kemudian," katanya ketika menjelaskan kos berkenaan kepada Malaysiakini hari ini.

Derma boleh dihulurkan ke dalam akaun Bank Islam bernombor 0303601 0003031 atas nama Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd.

ADS