MCA tanya PAS: Negara kebajikan atau 'negara Islam'

Naib Presiden MCA Datuk Seri Chor Chee Heung membidas PAS yang didakwanya gagal menjelaskan hala tuju sebenar parti itu selain tiadanya konsensus dalam pakatan pembangkang.
    
Katanya PAS pada satu ketika menyatakan berjuang untuk penubuhkan 'negara kebajikan, namun pada masa lain mereka mahukan 'negara Islam'.
    
Chor mendakwa, ia merupakan satu helah PAS yang menurutnya cuba mengelirukan pengundi dengan mempakej semula konsep negara Islam mereka dan menamakannya negara kebajikan," katanya dalam kenyataan semalam.

Chor yang juga menteri perumahan dan kerajaan tempatan berkata pakatan pembangkang mendakwa mereka telah mencapai persetujuan pada konvensyen tahun lepas dan PAS bersetuju menggugurkan matlamatnya untuk menubuhkan negara Islam.

Akan tetapi kata beliau, Musyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan pelaksanaan hudud hanya isu teknikal dan DAP tidak boleh menghalang PAS daripada melaksanakannya.

"Justeru saya nak tahu konsensus apakah yang dicapai dalam kalangan pakatan pembangkang kerana pemimpin PAS nampaknya bercakap mengenai topik berbeza," katanya.
    
Beliau juga merumuskan konsensus itu tidak wujud dalam pakatan pembangkang kerana mereka tidak mempunyai hala tuju yang sama serta tidak berminat menjaga kepentingan pembangunan negara dan rakyat.  

"Mereka hanya berminat memancing undi bagi merampas kuasa demi kepentingan sendiri," katanya.
    
Chor juga menggesa mereka yang berkenaan agar menghentikan kenyataan tidak masuk akal mendakwa konsep negara kebajikan itu akan memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia.   

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.