Seorang tahanan yang masih ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) mendakwa telah menjadi pemberi maklumat* kepada polis Cawangan Khas (SB) selama kira-kira satu dekad sebelum dia ditangkap berkaitan keganasan.
Peguam Farida Mohd berkata, seorang permastautin di Tawau, Bakar Baba memberitahunya bahawa dia telah memberi maklumat kepada pihak polis mengenai kumpulan Darul Islam.
"Katanya, dia menghadiri sesi ceramah dan beberapa program latihan (Darul Islam) dan kerana dia mengaku terhadap kesalahan tersebut dan bekerjasama dengan SB, dia tidak ditangkap," kata Farida sambil berkata Bakar hanya perlu melaporkan diri dengan SB dari semasa ke semasa.
Farida, yang mewakili Bakar semasa pendengaran lembaga penasihat ISA di kem tahanan Kamunting semalam, berkata tahanan tersebut mendakwa dia telah ditangkap oleh "pasukan petugas anti-keganasan" yang baru ditubuhkan.
"Dia bertegas bahawa dia bukan ahli Darul Islam," kata Farida ketika dihubungi.
Bakar yang mengajar di SMK Umas Umas di Tawau, Sabah, sebelum dia ditangkap pada Januari tahun ini, juga telah dipecat daripada jawatannya pada bulan Jun.
Menurut Farida, surat telah dihantar kepada Bakar pada bulan Jun di mana Kementerian Pelajaran berkata ia telah dimaklumkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) bahawa Bakar bersalah melanggar Peraturan Penjawat Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dengan menentang Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan.
Bakar hanya dijadual dibebaskan pada bulan Januari 2014, walaupun ISA telah dimansuhkan.
* Pada 19 September 2012, isteri Bakar, Zahorna Abdul Razak telah memperbetulkan ini, dengan berkata Bakar telah bekerjasama dengan polis dengan menghadiri program "pemulihan" program, tetapi tidak pernah menjadi pemberi maklumat.
