Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pihak polis tidak boleh merampas barangan termasuk kamera pihak media semasa menjalankan tugas pada perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April lalu, kata pegawai daripada Jabatan Siasatan Jenayah di ibu pejabat polis daerah (IPD) Cheras.

NONE "Kamera dari pihak wartawan tak boleh rampas. Polis memang tak boleh rampas," kata ASP Ong Seng Keong ketika ditanya panel siasatan awam berkenaan dakwaan pelanggaran hak asasi semasa dan selepas perhimpunan itu.

Terdahulu, Ong ( atas ) ditanya sama ada pihak polis boleh mengambil apa-apa barangan daripada peserta BERSIH selepas Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menerima aduan terdapat kamera dirampas.

Bagaimanapun, Ong hanya memberikan pendapat peribadinya sahaja dengan mengatakan pihaknya tidak boleh merampas apa-apa barang kecuali senjata berbahaya.

Sementara itu, Ong yang ditugaskan untuk berkawal di sekitar bangunan Dayabumi daripada pukul 1 petang hingga 12 malam berkata, beliau tidak nampak sebarang kejadian keganasan melibatkan anggota polis dan peserta perhimpunan berlaku.

Sambil beberapa kali memberi jawapan "tidak nampak" Ong mendakwa, beliau sendiri diprovokasi semasa sedang berjalan daripada Jalan Pudu menuju ke Dayabumi.

"Saya sepatutnya berkawal di Pudu tetapi pukul 1 saya diarahkan ke Dayabumi. Semasa berjalan saya diprovok. Tapi saya buat tak tahu.

"Mengenai kecederaan (peserta), di tempat saya tak ada. Tapi ada dengar cakap-cakap. Saya tak nampak apa-apa, jadi saya tak boleh nak cakap," katanya.

Ketika ditanya tentang prosedur tangkapan semasa 28 April lalu, Ong berkata, pihaknya akan cuba menggunakan pendekatan yang perlu untuk buat tangkapan.

"Kita akan ambil pendekatan paling lembut dan ikut undang-undang yang diperuntukkan," katanya lagi.

ADS