Kerajaan negeri Selangor mengambil berat dan sedang mencari penyelesaian terbaik dalam isu Projek Pengukuhan Sistem Kawasan Tengah (CAR) di Kampung Sungai Terentang Rawang.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, banyak perbincangan telah dilakukan antara kerajaan selangor dan Tenaga Nasional Berhad (TNB), wakil penduduk dan pemimpin masyarakat,  ADUN  dan ahli Parlimen.

NONE"Perbincangan tersebut merupakan perbincangan profesional untuk mencari penyelesaian dengan mengambil kira faktor masyarakat  setempat serta kepentingan komersil," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Mungkin pihak TNB boleh dan bersedia mengenepikan faktor masyarakat tempatan dan isu sosial, namun begitu, selaku kerajaan prihatin, kerajaan Selangor tidak boleh berbuat demikian kerana keselamatan dan kesejahteraan rakyat adalah fokus utama.

"Oleh yang demikian, kerajaan negeri sedang meneliti segala opsyen yang mungkin mampu memberi hasil yang positif kepada TNB dan juga penduduk setempat," tegasnya.

'Ketepikan opsyen tak bijak'

Katanya, kerajaan negeri memahami hasrat TNB untuk segera melaksanakan CAR atas faktor komersil "tetapi tindakan mengenepikan opsyen lain bukanlah satu tindakan bijak".

"TNB juga diingatkan agar tidak mempolitikkan isu CAR ini dan sedia meneruskan perbincangan secara profesional dengan pihak-pihak terbabit.

"Kerajaan negeri berharap semua pihak akan memberi kerjasama dan sokongan kepada kerajaan Selangor,TNB dan juga penduduk Kampung Sungai Terentang dan elakkan mempolitikkan isu ini," tambahnya.

Semalam, Naib Presiden (Penghantaran) TNB Datuk Rozimi Remeli berkata Selangor dan Lembah Klang berdepan risiko gangguan bekalan tenaga yang serius jika projek CAR terus ditangguh.
   
Beliau berkata, ini kerana bebanan tenaga bagi kawasan tengah Semenanjung semakin meningkat.

Projek CAR  yang dimulakan pada 2005, melibatkan pemasangan kabel voltan tinggi sepanjang 60 kilometer antara Bukit Tarek di Rawang dan Kampung Chubadak, Sentul.

Projek tertangguh dengan baki jarak 1.5 kilometer di Kampung Sungai Terentang, Rawang sejak empat tahun lepas, susulan bantahan penduduk di situ.