Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Jawatankuasa Pengawas Pilihan Raya Umum (Panwaslu) Jakarta pada Ahad memutuskan bahawa raja dangdut dan pendakwah, Rhoma Irama, tidak melakukan kempen pilihan raya yang berbau suku, agama, ras dan antara golongan, yang diistilahkan sebagai SARA, ketika berceramah di sebuah masjid di Tanjung Duren, Jakarta Barat pada 29 Julai lepas.

Keputusan itu diumumkan Ketua Panwaslu Jakarta Ramdansyah selepas sidang pleno jawatankuasa tersebut.

"Secara kumulatif (ucapan beliau) tidak memenuhi unsur-unsur pelanggaran pilihan raya umum  negeri, sesuai dengan Undang-Undang Nomor 32 Tahun 2004," katanya.

Beliau berkata keputusan itu dibuat berdasarkan bukti yang dikumpul jawatankuasa tersebut seperti rakaman ceramah Rhoma, keterangan saksi, rundingan serta penjelasan beberapa pihak termasuk polis, Suruhanjaya Penyiaran Indonesia Daerah dan Ketua Forum Kerukunan Umat Beragama.

Katanya, Rhoma Irama didapati tidak melanggar fasal 116 ayat (1) kempen di luar jadual, fasal 118 ayat (2) kempen dengan cara menghasut atau memfitnah, dan fasal 116 ayat (3) kempen di tempat ibadah.

"Kerana kes ini tidak memenuhi unsur kempen secara kumulatif, maka Panwaslu Jakarta dengan bidang kuasa undang-Undang yang dimilikinya, berhak menghentikan siasatan terhadap kes ceramah Rhoma Irama di Masjid Al-Isra," kata Ramdansyah.

Ceramah Rhoma Irama pada akhir bulan lepas mencetus kontroversi kerana dianggap mempunyai unsur SARA, yang dikaitkan dengan Pilihan Raya Umum Gabenor Jakarta apabila raja dangdut itu didakwa mencemar nama pasangan calon Joko Widodo dan Basuki Tjahaja Purnama, yang lebih dikenali sebagai Jokowi-Ahok.

Panwaslu baru-baru ini mengambil keterangan Rhoma Irama berhubung kes itu setelah video ceramahnya tersebar luas.

Sementara itu, Rhoma Irama dalam komen kepada wartawan di kediamannya di Jalan Pondok Jaya VI, Mampang, Jakarta Selatan berkata beliau sedia dihadapkan ke mahkamah jika didapati bersalah.

"Saya bersedia (bertanggungjawab) ke atas apa yang saya ucapkan," katanya.

- Bernama

ADS