Menteri digesa dedah perjanjian tanah IPD Brickfields

PKR mendesak Menteri Wilayah dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin menjelaskan perincian pemberian tanah bekas tapak ibu pejabat polis daerah (IPD) Brickfields, Kuala Lumpur.

Naib presidennya Nurul Izzah Anwar menuntut penjelasan berhubung pertukaran tanah, terma dan kos terhadap pemaju Syarikat Primamuda Holdings Sdn Bhd bagi mendapatkan tanah itu.

NONE"Menteri juga perlu menggantikan balai polis tersebut bagi memenuhi keperluan penduduk Brickfields.

"Sebarang kekurangan merupakan satu pengkhianatan kepada orang awam," katanya pada sidang media semasa melakukan lawatan ke bekas tapak IPD itu di ibu negara pagi ini.

April lalu, Nurul Izzah mendakwa pemberian tanah bekas tapak IPD Brickfields itu diserahkan kepada Primamuda yang didakwa mempunyai kaitan dengan senator Umno Mariany Mohamad Yit.

Bagaimanapun, Mariany ketika dihubungi Malaysiakini menjelaskan, urus niaga tersebut telah lama berlaku dan berjalan menurut prosedur yang sah.

Tanah yang dirujuk sebagai PT 20 (Lot 18) Seksyen 94A Bandar Kuala Lumpur (DBKL) diberikan kepada Syarikat Primuda Holdings sebagai pertukaran membangunkan balai polis Jalan Travers.

Sementara itu, Nurul Izzah hari ini turut mempersoalkan ura-ura pembinaan pangsapuri komersial di atas tanah kerajaan itu.

"Ini merupakan tanah milik kerajaan, PDRM, bagaimana ia boleh dibuat tanah komersial? Pindah milik ini bertentangan.

"Saya dapat tahu mereka nak membina kondominium 33 dan 41 tingkat.

"Tempat ini sudah sedia sesak, adakah pembinaan ini sesuai?" katanya lagi. 
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.