Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Gabungan JANJI: "Kami bukan mewakili BERSIH'
Diterbitkan:  Aug 17, 2012 3:11 PM
Dikemaskini: 7:16 AM

Gabungan JANJI yang dianggotai 49 NGO untuk bersama dengan anak semua bangsa merayakan ambang kemerdekaan di Dataran Merdeka pada malam 30 Ogos ini menjelaskan bahawa ia bukan mewakili BERSIH 2.0 seperti yang dilaporkan oleh sesetengah pihak.

"Gabungan JANJI ingin memaklumkan kepada rakyat bahawa kami bukan mewakili BERSIH 2.0 sepertimana yang telah dilaporkan oleh sesetengah pihak.

"Tujuan utama kami berkumpul adalah untuk meraikan malam ambang kemerdekaan dengan semangat "Janji Demokrasi"," kata gabungan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Di bawah tema “Janji Demokrasi”, katanya, Gabungan JANJI akan bersama rakyat Malaysia pada pukul 10 malam di kawasan pancuran air sekitar Dataran Merdeka dengan mengenakan pakaian kuning sebagai warna tema.

Gabungan  JANJI menjemput semua rakyat Malaysia untuk bersama menyambut detik ketibaan hari merdeka yang menurutnya, cukup istimewa kali ini.

"Kami akan berkumpul di Dataran Merdeka secara aman dan damai bersama anak semua bangsa.

"Kami juga menyarankan semua rakyat Malaysia, dari Perlis ke Johor serta Sabah dan Sarawak agar memakai kuning pada malam ambang Merdeka," kata kenyataan itu lagi.

Menurutnya, Sasterawan Rakyat Datuk A. Samad Said akan bersama-sama meraikan malam tersebut dengan mendeklamasikan sebuah puisi istimewa.

 

Ia juga turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua yang menyambutnya.

ADS