Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Air Tawar, Datuk Jahara Hamid mengesahkan tidak akan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang untuk memberi laluan kepada generasi baru.
    
"Saya sudah bersedia untuk bersara dan membantu melatih beberapa calon muda yang berpotensi untuk menggantikan saya. Ia terpulang kepada pucuk pimpinan untuk menggantikan saya.

"Kami mahu mempunyai satu pasukan yang baik (BN Pulau Pinang) dan saya bersedia untuk melepaskannya," katanya kepada pemberita di sambutan rumah terbukanya di Taman Robina, Teluk Air Tawar di Butterworth hari ini.
    
Jahara, 61, berkata beliau tidak mahu memegang jawatan buat selama-lamanya dan membuat keputusan untuk bersara.

Beliau menjadi ADUN Teluk Air Tawar sejak pilihan raya umum 1999. Beliau pernah menjadi Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Negeri Pulau Pinang dari 2004-2008.

Sebelum ini ADUN Penaga, Datuk Azhar Ibrahim yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang turut menyatakan hasrat tidak mempertahankan
kerusinya.

- Bernama