Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seorang ahli akademik menggesa Unit Perancang Ekonomi menyemak semula garis panduan berhubung takrif kemiskinan agar ia lebih mencerminkan realiti semasa.

Datuk Dr Denison Jayasooria, ketua felo penyelidik di Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia, berkata garis kemiskinan yang lebih realistik perlu diwujudkan untuk membolehkan kerajaan menggubal dasar serta program lebih berkesan untuk menangani masalah berkaitan kemiskinan.

"Kemiskinan perlu ditakrifkan semula dan ukuran berbeza perlu digunakan untuk mengetahui keadaan sebenar yang wujud dalam kalangan mereka di peringkat paling bawah daripada segi sosioekonomi," katanya dalam temu bual dengan Bernama.

Kini, garis kemiskinan kebangsaan adalah berdasarkan pendapatan bulanan minimum isi rumah sebanyak RM760 di semenanjung Malaysia, RM1,050 di Sabah dan RM910 di Sarawak.

Denison berkata Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) dan ukuran pendapatan perlu diubah agar ia menjurus ke arah menggunakan pendekatan pelbagai dimensi apabila mengambil kira faktor seperti keperluan dan hak asasi manusia serta kualiti kehidupan.

Katanya tumpuan perlu diberi terhadap usaha menangani kemiskinan bandar, yang diburukkan lagi oleh pelbagai isu yang belum selesai seperti kemudahan awam dan rumah pangsa kos rendah yang belum mencukupi.

"Langkah segera perlu diambil untuk menangani kemiskinan bandar dan kawasan kediaman golongan berpendapatan rendah dengan menggunakan kaedah yang melibatkan pelbagai agensi, pelbagai disiplin dan pasukan penyampaian pelbagai etnik," katanya.

Denison, yang juga setiausaha agung Proham, sebuah kumpulan hak asasi manusia, bagaimanapun berkata Malaysia mempunyai rancangan pembangunan makro yang baik dan memberi keutamaan terhadap agihan pertumbuhan secara menyeluruh.

Sementara itu, Ketua Pusat Keusahawanan Sosial Binary University, Prof Sulochana Nair, berkata walaupun kemiskinan dalam erti kata sebenar berjaya dikurangkan, tetapi ketidaksamarataan pendapatan meningkat dengan ketara dalam kalangan pelbagai kumpulan etnik di negara ini dan sekali gus, melebarkan jurang ketidaksamarataan antara masyarakat bandar dan luar bandar.

"Peningkatan ketidaksamarataan dalam konteks inflasi dan jenayah memberi kesan negatif terhadap 40 peratus golongan yang berada di tangga paling bawah sosioekonomi, yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan di kawasan bandar.

"Mereka ini adalah golongan miskin bandar yang tinggal di rumah pangsa kos rendah yang menjulang tinggi di pusat bandar.

"Oleh itu, dasar yang perlu dilaksanakan Malaysia sekarang mestilah yang bermatlamat untuk mewujudkan kesamarataan daripada segi peluang, bukan keesamarataan daripada segi pendapatan," kata bekas ketua Pusat Kajian Kemiskinan dan Pembangunan, Universiti Malaya ini.

- Bernama

ADS