Seorang kanak-kanak meninggal dunia semalam selepas kepalanya tertusuk buluh penyidai pakaian di Flat Sri Tanjung, Taman Kempas Permai di Johor Bahru Ahad lepas.
    
Muhammad Alias Che Samad, 4, yang dirawat di Hospital Sultanah Aminah meninggal di hospital itu pada pukul 3 petang semalam.
    
Bapanya Che Samad Che Omar, 51, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 malam ketika anaknya berada di tempat meletak motosikal di flat setinggi 17 tingkat itu.
    
"Sebatang buluh sepanjang dua meter yang dipercayai terjatuh dari salah satu tingkat berkenaan menusuk sedalam dua inci di kepalanya dan menyebabkan dia terus tidak sedarkan diri," katanya di rumah mayat hospital.
    
Beliau berkata beliau berada kira-kira satu meter di belakang anaknya ketika kejadian dan terus membawa anaknya yang berlumuran darah dengan motosikal ke hospital.

Che Samad yang menyewa di flat itu sejak enam tahun lepas telah membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut.
    
Anak bongsu dari empat beradik itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Alif di Johor Bahru.

- Bernama