Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Datuk Dr Mahadzir Mohd Khir meninggal dunia
Diterbitkan:  Sep 5, 2012 9:08 PM
Dikemaskini: 1:09 PM

Bekas Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Dr Mahadzir Mohd Khir meninggal dunia pada 4.30 petang di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di ibunegara hari ini. Mahadzir berumur 67 tahun.

    

Jenazah allahyarham kini berada di rumahnya di Jalan 14/50 Petaling Jaya, Selangor.

    

Menurut anak sulungnya, Muhamad Anas, 35, bapanya dimasukkan ke PPUM setelah secara tiba-tiba diserang strok pada jam 6 petang semalam ketika sedang berehat bersama keluarga di rumahnya.

    

"Selepas diserang strok, ayah dihantar ke PPUM dalam keadaan tidak sedarkan diri dan doktor yang memeriksanya mendapati terdapat pendarahan di dalam otaknya.

    

"Ayah yang tidak mengalami apa-apa penyakit sebelum ini koma sehingga disahkan meninggal dunia petang tadi pada usia 67 tahun," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya bapanya itu.

Beliau berkata jenazah allahyarham dijangka disolatkan di Masjid Seksyen 14, Petaling Jaya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara pada 10 pagi esok.

    

Selain Muhamad Anas, allahyarham yang dilahirkan pada 16 Mei 1945 di Yan, Kedah meninggalkan seorang isteri Datin Dr Amla Mohd Salleh, dua lagi anak, Mohd Syakir, 31 dan Mohamad Salleh, 27, dan seorang cucu perempuan.

    

Muhamad Anas berkata bapanya yang sebelum ini pernah melakukan pembedahan jantung pada 2004 sempat menghadiri majlis perkahwinan saudara mereka di Kuala Lumpur baru-baru ini serta menemani ibunya menghadiri satu seminar di Amerika Syarikat sebelum Ramadan lalu.

    

"Ayah seorang yang tegas dan penyayang dengan anak-anak, suka tolong orang, ikhlas serta pemurah dan kami semua reda dengan pemergiannya," katanya.

    

Dalam politik, Allahyarham pernah menjadi anggota Parlimen Sungai Petani selama dua penggal iaitu pada 1999 dan 2004.

    

Beliau dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan pada 1999, sebelum dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelajaran di dalam Kabinet yang dibentuk oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Mac 2004.

    

Bagaimanapun beliau digugurkan daripada jawatannya dalam rombakan kecil Kabinet pada Mac 2004.

    

Bekas pensyarah di Jabatan Sejarah Universiti Malaya yang juga seorang kolumnis di berapa majalah tempatan itu diingati sebagai seorang wakil rakyat  yang terkenal dengan inisiatifnya meluaskan kewujudan Pusat Bacaan Rakyat (PUBARA) di negeri Jelapang Padi itu selepas bergelar Anggota Parlimen.

    

- Bernama

ADS