Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Penganjur perhimpunan Janji Demokrasi, Maria Chin Abdullah berkata, soalan-soalan yang ditanyakan pihak polis kepada beliau dan Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said 'tidak relevan'.

Maria yang dipanggil bersama A Samad memberi keterangan di ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi berkata, soalan yang ditanyakan kepadanya mengenai sidang media penganjur di ibu negara pada 24 Ogos lalu.

Ditemui pemberita selepas memberikan keterangan, Maria berkata, beliau ditanya tentang kehadiran ke sidang media yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor itu dan peranan beliau.

"Soalan yang ditanyakan oleh polis tidak relevan kerana kesemua jawapan itu dia boleh perolehi di luar sana dan di (laporan) media," katanya.

NONE Maria ditemani peguam Lathefa Koya manakala A Samad yang mesra dengan panggilan Pak Samad pula diwakili peguam Datuk S Ambiga dan Syahredzan  Johan.

Semalam, Pak Samad dan Maria menerina notis hadir ke IPD Dang Wangi bagi memberi keterangan berhubung perhimpunan Janji Demokrasi. Mereka bagaimanapun berunding dengan polis supaya dapat menangguhkan ke hari ini.

Sementara itu, Pak Samad hari ini berkata, beliau dipanggil memberi keterangan sebagai saksi memandangkan beliau tidak terlibat dalam penganjurannya dan cuma diundang membacakan puisi.

Seperti Maria, beliau juga enggan menjawab semua soalan kecuali mengenai maklumat diri.

"Tidak ditanya langsung tentang puisi itu (yang dibaca) seingat saya," kata Pak Samad lagi.

Menurut Ambiga pula,  Pak Samad hadir sebagai saksi bawah seksyen 110, Kanun Keseksaan, berbeza dengan notis polis bawah seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman semalam.

"Notis itu diberi dibawah seksyen 9(5) iaitu kepada penganjur. Pak Samad bukan penganjur, jadi notis itu telah dibatalkan. Tetapi dia hadir sebagai saksi," kata Ambiga.

Dalam pada itu, ketika menunggu Pak Samad dan Maria selesai disoal siasat, kira-kira 20 orang aktivis seni dan NGO hadir menanti di luar IPD bagi memberi sokongan.
 

 

ADS