Polis tahan 2 individu kibar Sang Saka Malaya

Polis hari ini menahan dua suspek yang didakwa mengibarkan bendera Sang Saka Malaya dalam perhimpunan Janji Bersih pada malam ambang merdeka sebelum ini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Assistan Komisioner Aziz Zakaria berkata kedua-dua suspek berumur 20-an itu ditahan petang ini di ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.

NONEMenurut Aziz lagi, mereka disiasat bawah Seksyen 9(1)(a) Akta Hasutan.

"Kedua-dua suspek kini masih disiasat untuk tindakan susulan selepas mengibarkan bendera Sang Saka Malaya.

"Berkemungkinan akan dibebaskan malam ini dengan jaminan polis. Kedua-dua mereka hadir bersama peguam," katanya dalam kenyataan sebentar tadi.

Polis sejak 2 September lalu menggesa individu itu dan saksi tampil membantu siasatan kerana ia dilihat serius kerana bercanggah dengan perlembagaan dan proses demokrasi.

Salah seorang daripada mereka bagaimanapun sebelum ini menulis di blog bahawa mereka tidak berniat menggantikan Jalur Gemilang.

Bagaimanapun, berdasarkan sejarah kemerdekaan tanah air, mereka merasakan Sang Saka Malaya layar dikibarkan bersama pada sambutan itu.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah pula berkata, sebanyak 325 laporan polis dibuat berhubung insiden itu.

Beliau juga menjelaskan, setakat ini, daripada 11 orang yang gambar mereka disiarkan, sudah enam orang tampil menyerah diri.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.