BAS jelajah Anwar disimbah cat lagi

Bas yang digunakan bagi program Jelajah Merdeka Rakyat anjuran PKR melibatkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim disimbah cat lagi di Jasin, Melaka hari ini.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin berkata, bas tersebut disimbah cat merah kira-kira jam 3.30 petang ketika dalam perjalanan menghadiri jamuan Aidilfitri di kawasan itu.

NONE"Bas datang dalam jam 3.30 petang di Kampung Rim untuk hadiri program Aidilfitri. Tiba-tiba kami didatangi kira-kira 20 samseng BN yang halang laluan bas kami.

"Kami tahu itu BN kerana ada salah seorang ahli jawatankuasa Umno Jasin berada bersama mereka," dakwanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Katanya, beliau berada dalam bas itu bersama Anwar dan pemimpin PKR negeri ketika kejadian.

Menceritakan detik cemas itu, Shamsul memberitahu, insiden bermula apabila bas yang dinaiki mereka dihalang daripada melalui jalan di kampung tersebut, sehingga mendorong berlaku perbalahan antara petugas AMK dan kumpulan itu.

''Memang ada pergelutan antara skuad AMK dengan mereka. Tetapi akhirnya mereka beri laluan. Selain cat, mereka juga balik objek lain. Tapi saya tak pasti objek apa," kata Shamsul.

Anwar: Samseng makin berani & biadap

Sehubungan itu, Shamsul berkata, PKR Jasin akan membuat laporan polis terhadap kejadian tersebut selepas majlis jamuan Aidilfitri selesai, dijangka lewat petang ini.

''PKR Jasin akan membuat laporan polis selepas ini. Tetapi apa yang kita kesalkan ialah, pihak polis hanya tiba selepas setengah jam kejadian. Baru mereka datang," katanya lagi.

Kejadian ini merupakan kejadian kedua selepas Sabtu lalu, bas sama disimbah dengan cat merah di Kota Bharu, Kelantan kira-kira jam 4.20 pagi ketika bas tersebut diparkir di hadapan Pasar Siti Khadijah.

Sementara itu, Anwar Ibrahim di laman Facebooknya mengecam insiden itu.

''Minggu lepas di Kelantan, kali ini di Melaka. Tindakan samseng makin berani dan biadap!'' tulis Anwar.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.