Polis Langkawi minta rasuah, dakwa pelancong Taiwan

Satu posting di sebuah forum dalam talian popular backpackers Taiwan yang menuduh polis Langkawi menuntut dan mengambil rasuah, telah meletakkan Malaysia di mata komuniti pelancongan antarabangsa.

Bagaimanapun, polis Kedah berkata tiada laporan telah dibuat berhubung dengan dakwaan tersebut.

Artikel dalam bahasa Cina itu disiarkan di backpackers.com.tw pada 10 September oleh seorang pengguna yang menggunakan nama samaran 'dr995'.

Menurut posting tersebut, penulisnya sedang memandu kenderaan MPV yang disewa di Langkawi, menuju ke tempat penginapannya apabila kenderaan itu melalui satu sekatan pemeriksaan polis.

"Saya menurunkan cermin tingkap dan menyerahkan lesen memandu antarabangsa saya kepada anggota polis. Dia memandang ke dalam kereta dan mengarahkan saya menghentikan kereta itu di tepi jalan.

NONE"Dia kemudian berkata kereta itu membawa lebih penumpang dan setiap seorang daripada kami (dalam kereta itu) perlu
membayar denda RM300 atau jika tidak, dia akan membawa kami ke balai polis. Kita hanya boleh beredar dari situ selepas membayar denda.

"Kemudian dia merampas pasport saya. Kami merayu kepada anggota polis itu tetapi selepas beberapa pusingan rundingan, dia tetap dengan pendiriannya dan mahu kami cepat menyediakan wang. Kemudian dia memeriksa kenderaan lain," kata posting tersebut.

Penulis tersebut mendakwa bahawa dua anggota polis kemudian menakut-nakutkannya dengan "kata-kata yang sukar dipercayai" dan menawarkan satu penyelesaian terhadap masalah tersebut - iaitu tawaran membayar RM500.

"Bukan sahaja kita boleh beredar dan terus memandu kereta kami, tetapi dia juga memberi jaminan bahawa tidak ada lagi polis yang akan memberi kami masalah."

Sambil menyifatkan anggota polis itu sebagai "sekumpulan samseng berpakaian seragam polis yang dilengkapi dengan pistol", penulis itu berkata semua kenderaan yang diperiksa adalah yang dipandu oleh pelancong, manakala pemandu tempatan dibenarkan melepasi sekatan itu.

Anggota polis itu yang kemudian membawa penulis ke belakang kereta polis supaya mereka tidak dilihat oleh pengguna jalan raya yang lain dan mengarahkannya meletakkan wang ke dalam tangannya.

"Dia kemudian segera menutupnya dengan sekeping kertas dan menyimpannya dalam kereta polis. Proses ini pantas dan licin, mungkin kerana sudah sering berbuat demikian.

"Selepas membayar wang itu, saya mendapat balik lesen memandu dan pasport saya, dan beredar dari situ," tulisnya.

Keseluruhan perbualan dengan pihak polis, katanya, telah dirakam secara rahsia  oleh seorang penumpang kenderaannya, dengan menggunakan telefon bimbit dan gambar anggota polis berkenaan turut dirakamkan.

Bukti-bukti itu telah dikemukakan kepada Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Malaysia, katanya.

Sekeping gambar menunjukkan tiga anggota polis beruniform memeriksa kenderaan di sekatan jalan raya itu turut disiarkan bersama dengan artikel di forum online itu.

[Baca berita penuh]

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.